Hina Sultan Selangor: Kor Ming Akan Dipanggil Semula – Polis

KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP negeri Perak, Nga Kor Ming akan dipanggil semula untuk memberi keterangan berhubung kes menghina Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah.

Ketua Penolong Pengarah Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, Kor Ming akan dipanggil semula kerana siasatan masih tidak lengkap lagi.

“Tadi dia beri alasan dia perlu berundur segera kerana ada tugas di Parlimen, malah saya juga tidak boleh sahkan betul (atau) tak dia serahkan bukti seperti yang dimaklumkannya (kepada media).

“Tapi yang pasti dia akan dipanggil semula, tarikh dan masa belum lagi ditetapkan. Kes masih disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu Pengarah JSJ Bukit Aman, Komisioner Datuk Huzir Mohamed mengesahkan kehadiran Kor Ming di Bukit Aman.

Ahli Parlimen Teluk Intan itu yang ditemani peguamnya yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh tiba di Bukit Aman pada pukul 1.30 tengahari.

Beliau meluangkan masa kira-kira sejam setengah memberi keterangan sebelum meninggalkan ibu pejabat polis itu pukuil 3 petang.

Pada Ahad lalu tersebar hantaran dalam tulisan bahasa Cina menerusi akaun Facebook, Nga Kor Ming Super Fans Page, yang didakwa mengajak kaum Cina membantah terhadap Sultan Selangor berkaitan penggunaan tulisan Jawi pada papan tanda.

Timbalan Ketua Polis Negara, Komisioner Datuk Maslan Mansor mengesahkan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan berikutan laporan polis yang dari Pengiring Sultan Selangor di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam pada minggu lalu. – MalaysiaGazette

Loading...