Hina Agong Kebiadapan, Provokasi Melampau!

KUANTAN – PAS dan UMNO Indera Mahkota bersama beberapa pertubuhan serta badan bukan kerajaan (NGO) tampil membuat laporan polis terhadap pengendali akaun Facebook ‘Sabah-Sarawak Merdeka’ atas hantaran menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam laman media sosial tersebut.

Laporan polis dibuat kira-kira pukul 3 petang tadi di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

Kira-kira 100 ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik itu berkumpul di hadapan IPD berkenaan sambil melaungkan ‘Daulat Tuanku’ sebagai tanda sokongan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Timbalan Yang Dipertua PAS Pahang, Andansura Rabu berkata, perbuatan memuat naik gambar yang jelas menghina Yang di-Pertuan Agong satu perbuatan biadab yang sekali gus mengundang kemarahan seluruh rakyat di negara ini.

Beliau yang juga ADUN Beserah berkata, perbuatan itu menunjukkan kebiadapan melampau dan provokasi yang tidak boleh diterima oleh semua kaum.

“Perbuatan seperti ini boleh mencetuskan ketegangan dan menggugat keharmonian negara.

“Pihak berkuasa diminta menyiasat dan mengambil tindakan tegas dengan segera terhadap pengendali laman Facebook berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis tadi. – Sinar Harian

Loading...