Hina Agama: Perlu Garis Panduan Yang Jelas

KERAJAAN perlu menyediakan garis panduan yang jelas yang dapat membezakan antara penghinaan dan penjelasan semasa membuat pindaan terhadap akta membabitkan ke­salahan isu kebencian agama dan perkauman di negara ini.

Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim berkata, pindaan itu perlu mengambil kira panda­ngan pelbagai pihak termasuk ulama, cendekiawan Islam dan badan-badan dakwah dalam mengemukakan cadangan untuk memperkasakan undang-undang agar dakwah Islam tetap berlaku dan tidak terbantut.

“Saya setuju dengan cada­ngan pindaan berkenaan namun kerajaan juga perlu membezakan antara penghinaan dan penjelasan. Perlu ada garis panduan yang jelas antara penghinaan dan penjelasan.

“Larangan menghina agama lain jelas terkandung dalam al-Quran dan al-Quran juga terdapat banyak ayat yang sifatnya menjelaskan akidah sebenar iaitu mentauhidkan Allah sekali gus menjelaskan kesalahan dan kebatilan akidah selain daripada mentauhidkan Allah,” katanya dalam satu kenya­taan di sini, hari ini.

Sementara itu, lebih 1,000 ma­syarakat Islam berhimpun di Masjid Jamek An-Nur, Pasir Gudang, Johor sebagai membantah tindakan pihak yang menghina agama Islam, Nabi Muhammad SAW serta isteri baginda Saiditina Aisyah.

Himpunan yang bermula pada pukul 5 petang itu digerakkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Badan Amal Tarbiah Sejagat (Batas) Johor dengan kerjasama beberapa NGO lain.

Naib Pengerusi Batas Johor, Mohd. Taufek Daud berkata, himpunan itu merupakan satu pe­ringatan kepada masyarakat agar tidak mempersenda agama Islam.

Di Sungai Petani, Kedah, sebanyak 13 laporan polis diterima Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda berikutan rasa tidak puas hati terhadap perbuatan beberapa individu yang menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri.

Timbalan Ketua Polis Daerah itu, Superintenden Sazalee Adam berkata, kesemua laporan tersebut dibuat oleh individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sejak isu berkenaan tular di laman-laman sosial dan media massa.

Katanya, antaranya Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Pertubuhan Dakwah Dan Tarbiah Darul Husaini, Pertubuhan Amal Dan Ukhwah Semalaysia (Paduka) dan Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia (Pusat).