Himpunan Perpaduan Ummah Bukan Agenda Tersirat

KUANTAN – Himpunan Perpaduan Ummah Negeri Pahang anjuran UMNO dan PAS tidak mempunyai agenda tersirat dalam mendiskriminasi kaum dan agama selain Melayu dan Islam.

Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, himpunan berkenaan hanya bermatlamat dalam memperkukuhkan perpaduan umat dan memartabatkan agama Islam di negara ini.

Menurutnya, ini merupakan suatu modul dalam menjadikan rakyat khususnya kaum Melayu dan Islam agar bersatu semula demi kestabilan politik di negara ini.

“Tujuan kita cuma mahu menyatupadukan rakyat di Malaysia yang mana kita akan satukan dahulu kaum Melayu dan Islam di negara ini supaya orang Melayu tidak rugi duduk di dalam negara mereka sendiri.

“Namun kaum selain Melayu dan mereka yang tidak beragama Islam jangan takut jangan gundah gulana kerana agenda ini membawa kebaikan rakyat dan bukan untuk memerangi sesiapa (kaum bukan Melayu dan bukan beragama Islam),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Himpunan Perpaduan Ummah Negeri Pahang di Padang Majlis Perbandaran Kuantan 1, di sini, semalam.

Turut hadir sama, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar serta barisan kepimpinan tertinggi UMNO dan PAS.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, PAS dan UMNO juga merupakan dua buah parti besar yang mempunyai kekuatan dan anggota selain daripada kaum Melayu dan mereka yang tidak beragama Islam.

“UMNO mereka ada MCA, MIC dan PAS pula ada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang yang terdiri daripada ahli bukan Melayu dan tidak menganut agama Islam.

“Bukti dah pun berlaku yang kita lihat UMNO dah memerintah kerajaan selama berpuluh tahun dan PAS pula perintah Kelantan dengan lamanya. Jadi, kita (PAS-UMNO) lebih banyak bertindak daripada bercakap,” katanya. – Sinar Harian

Loading...