Himpunan Aman Penyewa PPR Bertukar Kecoh

PULAU PINANG – Perhimpunan kira-kira 22 penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis, Georgetown di sini bagi membantah arahan pengosongan…

PULAU PINANG – Perhimpunan kira-kira 22 penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis, Georgetown di sini bagi membantah arahan pengosongan unit masing-masing bertukar kecoh apabila pegawai Bahagian Perumahan kerajaan negeri bertindak mengunci rumah-rumah penyewa terlibat hari ini.

Perhimpunan tersebut yang bermula secara aman kira-kira pukul 10 pagi bagi merayu kerajaan negeri memberi peluang kepada mereka untuk tinggal di rumah tersebut kemudiannya bertukar ‘panas’ selepas kedatangan pegawai Bahagian Perumahan kerajaan negeri kira-kira pukul 10.30 pagi di PPR berkenaan.

Penyewa termasuk ahli keluarga yang berada di kawasan parkir PPR berkenaan untuk berhimpun kemudiannya bertindak berdiri di hadapan rumah masing-masing bagi menghalang pegawai perumahan mengunci serta menyita rumah mereka.

Difahamkan, lapan penyewa telah mendapat notis untuk mengosongkan rumah tersebut bermula hari ini namun masih enggan berpindah dan rumah mereka telah dikunci oleh pegawai Bahagian Perumahan kerajaan negeri hari ini.

Empat penyewa pula dikatakan telah menyerahkan kunci secara sukarela manakala selebihnya masih berunding dengan kerajaan negeri.

Kesemua mereka diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing selepas hilang kelayakan menduduki rumah PPR termasuk melebihi kemampuan, mempunyai rumah lain dan berkahwin dengan warga asing.

Seorang penyewa, Nazrimah Jamal Abidin, 44 berkata, dia mempunyai lapan orang anak berusia 24 hingga empat tahun dan empat daripanya masih bersekolah.

“Saya sedar suami merupakan warga asing, tetapi kami telah tinggal di sini sejak 14 tahun yang lalu dan pada ketika itu tidak ada masalah untuk kami menyewa di sini.

“Saya tidak bekerja dan suami hanya bekerja sebagai buruh kontrak dengan pendapatan harian, kami tak mampu cari rumah sewa lain,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

Loading...