Hew Letak Jawatan Selepas Komik Propaganda Diharamkan

60

PETALING JAYA – Hew Kuan Yau hari ini mengumumkan peletakan jawatan ketua pegawai eksekutif Majlis Perniagaan Malaysia-China (MCBC), sehari selepas Putrajaya mengharamkan buku komiknya yang mengundang kecaman kerana dikatakan berunsur propaganda China.

Hew berkata peletakan jawatan itu bagi memastikan kelancaran operasi MCBC, dan keputusannya adalah muktamad.

“Saya menghabiskan separuh hidup saya untuk kebaikan Malaysia tanpa mengambil kira kepentingan sendiri. Oleh itu, saya sudah memenuhi misi mengalakkan proses pendemokrasian di Malaysia.

“Nasib baik, Malaysia baru ini mempunyai badan kehakiman yang bebas dan budaya politik yang semakin bersih.

“Namun, dari segi kesamaan etnik dan kebebasan sosial, saya percaya masih jauh dari ideal,” katanya dalam kenyataan.

Hew meletakkan keahlian DAP pada 2016 selepas mencetuskan kontroversi dengan mengatakan Laut China Selatan milik China.


Awal tahun ini, duta khas Malaysia ke China, Tan Kok Wai menamakan Hew sebagai CEO MCBC, sebuah badan untuk mengalakkan hubungan antara Malaysia dan China.

Kementerian Dalam Negeri semalam mewartakan perintah larangan mutlak terhadap pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan komik “Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama” itu.

“Kandungan penerbitan ini antara lain cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme, menyebarkan fakta yang salah dan mengelirukan tentang komunis serta mengandungi unsur untuk membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis,” katanya.

Malaysia melalui dua fasa bersenjata melawan komunis, iaitu pada Darurat 1948-1960 ketika Semenanjung masih dikenali sebagai Tanah Melayu, dan Insurgensi 1968-1989 selepas pembentukan persekutuan. – FMT