Friday, March 29, 2024

Creating liberating content

“Ustaz-Ustaz Jangan Suka Bergaduh”

GOLONGAN agamawan atau yang bergelar ustaz dinasihatkan supaya tidak sombong kerana menjadi ulama...

Lapangan Terbang Changi Kendali...

SINGAPURA - Changi Airport Group (CAG) hari ini melakar satu lagi detik bermakna...

Sepasang Suami Isteri Ditemui...

SEBERANG PERAI - Sepasang suami isteri ditemui mati di dalam bilik sebuah rumah...

VIDEO: Wanita Bogel Selamba...

KES wanita 'bersiar-siar' dalam keadaan bogel bukanlah sesuatu yang luar biasa di negara kita...

“Hentikan Tohmahan, Ibu Saudara Tak Pernah Ke Itali”

“SAYA harap tohmahan ini segera dihentikan kerana ibu saudara saya tidak bersalah, bukan dia yang pulang dari Itali,” kata Aida Nabila Mohamad Ghazali, 25.

Aida antara ahli keluarga pesakit Covid-19 daripada kluster baru yang wujud selepas dijangkiti seorang pesakit mempunyai sejarah perjalanan ke Itali sekitar awal bulan lalu.

Menurut Aida, dia kesal apabila ibu saudaranya dikatakan sebagai individu yang baru pulang dari negara Eropah itu sekali gus dituduh menjadi punca utama kewujudan kluster berkenaan.

Hakikatnya Aida berkata, ibu saudaranya ialah rakan sekerja kepada individu yang pernah ke Itali tetapi dipercayai tidak melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari sebagaimana sepatutnya.

Disebabkan itu kata Aida, ibu saudaranya dipercayai dijangkiti individu terbabit di tempat kerjanya di Kuching, Sarawak sebelum menyebabkan ahli keluarga yang lain turut sama dijangkiti Covid-19.

“Pada 18 Mac lalu, nenek saya dibawa ke hospital kerana dia mengadu tidak sihat, susah untuk bernafas. Pihak hospital melakukan ujian pengesanan Covid-19 melalui ‘rapid test’ untuk nenek namun keputusannya negatif.

“Disebabkan itu, pada hari berikutnya, nenek mahu pulang ke rumah kerana tidak mahu terus tinggal di hospital jadi kami bawa nenek pulang selepas diizinkan pihak hospital malangnya dia meninggal dunia keesokan hari.

“Rata-rata ahli keluarga yang tinggal berdekatan datang pada hari pengebumian nenek. Ibu saudara saya memang tinggal serumah dengan nenek bersama beberapa lagi saudara lain.

“Tidak lama selepas itu kami dimaklumkan nenek positif Covid-19 hasil ujian selanjutnya di makmal di Kuala Lumpur yang baru saja diperoleh.

“Disebabkan itu, seluruh ahli keluarga termasuk beberapa kenalan yang hadir pengebumian nenek diminta melakukan ujian saringan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Aida menjelaskan, dia kini juga antara yang menjalani tempoh kuarantin di pusat kuarantin di Kuching, Sarawak bersama ibu dan dua adiknya.


Manakala bapanya pula dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan memerlukan alat bantuan pernafasan selain bapa saudaranya juga turut dirawat di ICU.

“Dalam tempoh ini, kami sudah kehilangan lima ahli keluarga iaitu nenek, nenek saudara, ibu saudara dan dua bapa saudara saya disebabkan Covid-19.

“Ahli keluarga kami juga ramai yang dirawat di hospital serta menjalani kuarantin di pusat kuarantin disebabkan wabak ini.

“Oleh itu, saya merayu tolonglah jangan tambahkan kesedihan kami dengan fitnah sebegini kerana ahli keluarga kami tidak pernah ke Itali.

“Ayah saya sendiri sedang berjuang melawan virus ini di ICU jadi tolong jangan kecamukkan lagi fikiran kami semua.

“Pada waktu ini, saya amat berharap semua orang jujur sekiranya mereka pernah terdedah dengan risiko jangkitan di mana-mana terutama jika anda memang ada sejarah perjalanan ke negara terjejas.

“Sekarang ini pun tidak perlu mencari siapa salah, apa yang penting kena jujur dan doakan semua dijangkiti beransur sembuh secepatnya. Doakan juga bapa saya,” katanya.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam mengesahkan kewujudan satu kluster baru disebabkan sejarah perjalanan ke Itali membabitkan kes ke-1580.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada kluster terbabit, 37 disahkan positif Covid-19 yang sudah membabitkan tiga generasi dengan lima kematian serta satu kes kritikal yang memerlukan alat bantuan pernafasan di ICU. – myMetro Online

Kategori