Henti Spekulasi Kematian Pelajar Tahfiz – Polis

KOTA TINGGI – Polis meminta semua pihak agar menghentikan sebarang spekulasi berhubung kematian pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi yang dilaporkan dipukul oleh pembantu warden sekolahnya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, DSP Mohamed Sazif Mohamed Subri berkata sebarang spekulasi tanpa fakta sebenar, hanya akan memburukkan keadaan dan memberi impak negatif terhadap penyiasatan.

“Hentikan spekulasi hingga siasatan selesai bagi tidak menganiaya mana-mana pihak,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Mohamed Sazif berkata ketika ini pihaknya sedang menunggu laporan bedah siasat daripada Jabatan Patologi Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru untuk menentukan punca sebenar kematian pelajar berkenaan.

Siasatan kes juga masih dilakukan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Jika ia (laporan) menunjukkan unsur-unsur yang meragui, maka, satu kertas siasatan baharu akan dibuka,” katanya.

Setakat ini, seramai sembilan pelajar dari tahfiz sama turut sudah direkod keterangannya, namun, keterangan itu menjurus kepada kejadian yang berlaku terhadap mangsa.

“Mereka direkod percakapan bukan kerana turut didera tetapi hanya untuk membantu siasatan,” katanya.

Mohamad Thaqif Amin,11, yang dipotong kedua belah kaki hingga paras peha akibat dijangkiti kuman meninggal dunia pada pukul 2.05 petang tadi di HSI.

Pelajar itu dijadual menjalani pembedahan memotong tangannya dari bahagian jari hingga bawah siku pada 8 pagi ini, namun, ditangguhkan berikutan keadaan jantungnya tidak stabil.

Kes Mohamad Thaqif Amin menjadi tular di media sosial selepas mengalami kecederaan pada bahagian kaki sejak dua minggu lepas dipercayai akibat dipukul oleh pembantu warden sekolahnya.

Pembantu warden lelaki berusia 29 tahun itu kemudian ditahan dan direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan kes. – BERNAMA

Loading...