Henti Sebar Khabar Angin Adun Pilah – Eddin Syazlee

KUALA PILAH – Semua pihak diminta agar tidak menyebarkan khabar angin yang tidak benar berkaitan kedudukan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah, Mohamad Nazaruddin Sabtu, berikutan masalah kesihatan yang dialaminya ketika ini.

Anggota Parlimen Kuala Pilah Eddin Syazlee Shith berkata sebaliknya, mereka seharusnya mendoakan kesihatan Mohamad Nazaruddin yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesenian, Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu negeri, bagi membolehkan beliau kembali menjalankan tugas seperti biasa.

“Keadaan kesihatan ADUN Pilah semakin positif walaupun banyak cerita kurang tepat yang timbul… daripada cerita perkara tidak baik saya nasihatkan lebih baik kita doakan kesihatannya.

“Saya percaya dan melihat kepada perkembangan positif beliau dari semasa ke semasa, insya-Allah dalam tempoh sesegera mungkin beliau dapat melaksanakan tanggungjawabnya sebaik mungkin,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Hari Intervensi Kesihatan Kampung Dioh: Jom Tahu dan Amal Kanser Pangkal Rahim dan Kanser Prostat, di sini, hari ini.

Mohamad Nazaruddin tidak hadir selama tiga hari kerana bercuti sakit semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan lalu dan susulan itu, timbul khabar angin bahawa beliau akan meletak jawatan sebagai ADUN Pilah akibat masalah kesihatan dihidapinya.

Eddin Syazlee yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata beliau turut difahamkan Mohamad Nazaruddin telah pun mendapatkan rawatan bersesuaian dengan sakit yang dihidapinya ketika ini.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan itu berkata Bersatu Negeri Sembilan telah selesai menubuhkan kesemua bahagiannya dan ketika ini dalam proses menubuhkan cawangan.

“Setakat ini semuaya berjalan lancar…saya fikir dalam pertengahan bulan hadapan, semuanya akan diselesaikan sepenuhnya,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan permohonan pemimpin UMNO yang ingin menyertai Bersatu, Eddin Syazlee berkata perkara itu diserahkan kepada pucuk pimpinan parti.

“Saya serahkan kepada pucuk pimpinan parti tetapi dari segi tidak rasminya banyak (permohonan), tetapi saya tidak boleh sahkan perkara itu kerana masih di peringkat perbincangan untuk putuskan kesesuaian dan keperluan,” katanya. – BERNAMA