Henti Guna RC, VEP Dalam Kempen PRK Tanjung Piai

KUALA LUMPUR – Menggunakan prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung Sistem Cukai Jalan (RC)/Permit Kenderaan Masuk (VEP) sebagai bahan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai adalah tidak dibenarkan.

Penggunaan prosiding itu jelas melanggar Peraturan Mesyuarat (PM) 85 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, kata Pengerusi PAC Parlimen, Datuk Dr. Noraini Ahmad.

Mengikut peraturan itu, sebarang keterangan diambil di hadapan sesebuah Jawatankuasa Pilihan dan apa-apa surat yang dikeluarkan tidak boleh disiarkan oleh ahli jawatankuasa itu atau sesiapa juga, sebelum jawatankuasa membawa penyata kepada majlis mesyuarat.

Justeru, semua penyataan dan dokumen yang dibentangkan dalam prosiding PAC Parlimen adalah berstatus rahsia dan tidak boleh dibincangkan di luar prosiding.

Setakat ini, PAC belum selesai menjalankan prosiding terhadap isu berkenaan yang sebelum ini dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2017 Siri 2 selepas ia dimulakan pada 20 Februari lalu.

“Hingga kini, PAC Parlimen sudah mengadakan lima prosiding membabitkan isu ini dengan kali terakhir ia diadakan pada 23 Oktober lalu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Berikutan prosiding yang belum selesai, PAC belum mengadakan mesyuarat penyediaan laporan (housekeeping) bagi memuktamadkan laporan PAC Parlimen berhubung RC/VEP di bawah Kementerian Pengangkutan dengan membincangkan rumusan serta syor akan dikemukakan kepada kerajaan.

Selepas jawatankuasa itu memuktamadkan laporannya barulah ia dibentangkan di Dewan Rakyat dan boleh dibaca semua pihak dengan status sebagai dokumen awam.

“Adalah sesuatu yang amat tidak bertanggungjawab untuk mengaitkan mana-mana pihak dengan prosiding ini atau menggunakan nama PAC Parlimen sebagai bahan kempen dalam PRK Tanjung Piai,” katanya.

PAC juga tidak mempunyai sebarang kuasa pendakwaan untuk menentukan mana-mana pihak yang hadir sebagai saksi terbabit dalam sebarang jenayah atau rasuah.

Kehadiran semua saksi di hadapan PAC Parlimen bertujuan membantu Jawatankuasa dalam menjalankan prosiding bukan sebagai pihak yang dituduh dalam kegiatan jenayah atau rasuah. – BH Online

Loading...