Henti Budaya ‘Minum Kopi’ Dengan Pemohon Tender – SPRM

CYBERJAYA – Pegawai awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terlibat dalam pemberian tender perlu menghentikan budaya “entertainment dealing”, minum kopi atau teh tarik bersama pemohon tender, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya.

Beliau berkata, langkah pencegahan amalan rasuah seperti tidak keluar minum bersama pihak berkepentingan penting dalam memastikan proses integriti “hidup” dan bukan sekadar mantra.

Katanya, dalam proses permohonan tender, terdapat pegawai yang cenderung berjumpa pemohon tender berpotensi di luar pejabat dan luar waktu pejabat untuk minum dan “buat deal”.

“Saya tidak bermaksud tidak boleh berjumpa langsung. Jika pegawai itu mempunyai kuasa untuk meluluskan lesen atau tender dan sebagainya, dia tidak seharusnya berjumpa orang tertentu di luar (waktu bekerja) dan mengatakan ia sekadar minum-minum.”

Ditemui selepas membentangkan kertas bertajuk “Combatting Corruption: Corporate Scandals and Its Challenges” pada sambutan Hari Integriti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini, Latheefa berkata, langkah pencegahan rasuah perlu dipertingkatkan walaupun larangan pemberian hadiah sudah dilaksanakan.

Dalam kertas kerjanya, Latheefa berkata, 32 daripada lebih 100 GLC di negara ini dikategorikan berisiko tinggi dalam amalan rasuah.

“Pegawai kanan SPRM ditempatkan di 32 GLC berkenaan, sementara pegawai lain ditempatkan di GLC berisiko sederhana dan rendah. Mereka mengetuai Unit Integriti dan Governans (IGU) di GLC.”

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad pada Oktober tahun lalu mengumumkan setiap GLC wajib menubuhkan IGU dalam tempoh 2 tahun.

Sementara itu, Pengerusi SKMM, Al-Ishsal Ishak dalam ucapannya berkata, suruhanjaya itu dijangka melancarkan pelan anti-rasuah organisasi pada awal 2020.

“Ia akan melibatkan pelbagai program dan sesi latihan kepada semua warga kerja supaya pengurusan, dasar dan prosedur SKMM mengutamakan integriti dan bersifat anti-rasuah.”

Loading...