Henti Bazir Wang Untuk Mercun, Bunga Api – CAP

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa orang ramai menghentikan perbuatan membazirkan wang yang dicari hasil kerja keras mereka dengan membeli bunga api dan mercun.

Presidennya, SM Mohamad Idris berkata rakyat Malaysia membelanjakan berjuta-juta ringgit membeli mercun dan bunga api, yang bukan sahaja bukan satu barang keperluan, malah ianya juga merbahaya.

Menurut beliau, selain boleh mengganggu orang ramai, mercun dan bunga api juga boleh membawa mudarat terhadap nyawa dan harta benda serta tidak selamat untuk kanak-kanak.

“Wang sukar dicari, tetapi senang dibelanjakan, tetapi kenapa membelanjakan wang yang sukar dicari itu untuk membeli mercun dan bunga api, sedangkan ia boleh diguna untuk perkara lebih penting seperti membayar balik pinjaman?” soal beliau.

Mohmad Idris juga menyuarakan kebimbangannya terhadap bahan letupan itu yang masih mudah didapati dan malah dijual secara terbuka, hinggakan dibuat promosi melalui platform media sosial seperti WhatsApp.

Katanya, penjualan bunga api dan mercun secara haram hanya boleh dihentikan melalui penguatkuasaan yang ketat dan kerjasama orang ramai dengan tidak membeli bahan terlarang itu.

Beliau juga menggesa Jabatan Kastam dan polis supaya menggiatkan lagi tindakan membanteras penyeludupan dan penjualan bunga api dan mercun.

Mengikut Seksyen 4(2) Akta Bahan Letupan 1957, seseorang yang didapati membuat, memiliki atau mengimport mercun dan bunga api boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun atau didenda RM10,000 atau kedua-duanya.

Sementara itu, Mohamad Idris mencadangkan agar pindaan dibuat terhadap undang-undang dengan memasukkan hukuman penjara mandatori terhadap penyeludup, termasuk merampas harta dan aset serta barang seludup milik mereka. – BERNAMA

Loading...