Helo Zam! Dah Lama Ke Tak Tonton RTM?

DUA bulan lalu, netizen Malaysia ketawa ‘berguling-guling’ apabila seorang macai Pakatan Harapan (PH) dengan bangga dakwa caj rawatan pesakit luar hospital kerajaan kononnya jatuh kepada RM1!

Walhal bagi yang sentiasa berurusan di premis itu tentu maklum itulah caj sejak 30 tahun lepas dan bukan turun kerana PH jadi kerajaan baharu menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

Namun situasi bodoh penyokong tegar PH tetap berterusan dan terkini, ia bukan sahaja melibatkan individu biasa, malah tokoh politik veteran yang pernah dilantik sebagai senator Dewan Negara, timbalan menteri waima menteri.

Inilah berlaku ke atas Tan Sri Zainuddin Maidin apabila dilaporkan memuji hebat pihak kerajaan PH kononnya sanggup ambil keputusan berani buat siaran langsung sesi soal jawab di Dewan Rakyat menerusi saluran RTM.

Bekas Menteri Penerangan itu mendakwa siaran ini mendapat sambutan hangat dan popular dalam sekelip mata setelah dilaksanakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia baharu, Gobind Singh Deo mulai minggu lepas.

“Kesannya amat dalam terutama kalangan rakyat kerana mereka baru sahaja terlepas daripada pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak yang menekan keras kebebasan media dan tidak ada tolak bandingnya dalam sejarah negara.

“Siaran televisyen sebelum ini dibenci dan akhbar pula tidak dibaca orang,” tulis Zainuddin menerusi akaun sosial Facebook miliknya kelmarin dan menjadi tular diperbincangkan ramai netizen khasnya penyokong totok PH.

Apa yang jelas kata Zainuddin atau mesra disapa sebagai Zam, dalam masa singkat, siaran langsung Parlimen ini kononnya menaikkan imej demokrasi kerajaan baharu PH, selain beri kesan negatif kepada pembangkang iaitu BN.

Menurutnya sewaktu menjadi menteri tersebut dahulu, beliau gagal buat pertimbangan bagi siaran langsung itu atas alasan keadaan politik perkauman dan isu agama menjadi senjata utama parti politik tertentu untuk raih sokongan.

Amat jelas, ketika kian dimamah usia, Zam yang pernah jadi menteri penerangan antara tahun 2006 hingga 2008, rupa-rupanya lupa slot siaran langsung dari Dewan Rakyat ini sudah dilaksanakan keajaan BN sejak 30 April 2008.

Menteri Penerangan pada ketika itu ialah Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang menggantikan Zam sendiri dan beliau menjelaskan bahawa Kabinet telah luluskan siaran langsung persidangan Dewan Rakyat tanpa ada tapisan.

Ia dimula ketika era Tun Abdullah Ahmad Badawi serta disiarkan menerusi saluran TV1 dan stesen radio Nasional FM milik RTM mulai jam 10 pagi sehingga 11 pagi semasa tempoh persidangan itu setiap hari Isnin hingga Khamis.

Bahkan siaran langsung ini boleh diikuti sepanjang dewan bersidang sehingga larut malam melalui saluran RTM Parlimen menerusi Hypp TV, portal MyKlik RTM dan RTM Mobile di samping portal berita www.bnpportal.com.

“Tiada tapisan. Mereka berucap di Dewan Rakyat semuanya ahli parlimen,” kata Shabery sambil menambah, wakil rakyat bebas kata apa-apa dan ia di luar kawalan tetapi apa yang penting rakyat mahu tahu apa berlaku di Parlimen.

“Jika mereka bercakap kasar, atau mengetuk-ngetuk meja, itu di luar kawalan kita. Saya tidak fikir ahli parlimen kita akan bertindak begitu teruk, kalau tidak mereka pasti tidak akan dipilih lagi sebagai ahli parlimen,” jelas Shabery.

Menariknya, Zam mungkin hanya tahu mengenai siaran langsung Dewan Rakyat yang bermula minggu lalu apabila dewan seperti ‘pasar’ dengan gelagat Speaker dan timbalan serta ahli parlimen PH tidak tahu Peraturan Mesyuarat.

Apa yang jelas rakyat sudah melihat warna sebenar imej pemimpin PH selepas mereka diberi peluang memerintah dan mentadbir negara; kes sama seperti rakyat melihat Zam yang membuat kenyataan supaya pusat tahfiz ditutup.

Kenyataan celupar itu menyebabkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa meminta Zainuddin membuat homework (kerja rumah) dan anggap Zam sebagai radikal dengan cadangan pelik tersebut.

Berbalik kepada isu siaran langsung Parlimen di RTM, Zam juga patut buat homework dan jangan bercakap semata-mata mahu menarik perhatian ramai agar dapat diberikan jawatan oleh kerajaan PH pula. – Agensi/Mynewshub.TV

*Video bawah sekadar sindiran sahaja…

Loading...