Helah Bijak Budak Kecil Halau 4 Anjing Jalanan

NEW DELHI – Apakah yang akan anda buat jika terserempak dengan anjing jalanan? Bukan seekor tetapi sebanyak empat ekor! Lazimnya, ramai kalangan kita akan berlari macam lipas kudung.

Namun berbeza dengan aksi seorang budak lelaki di India yang rakaman videonya berdurasi 1 minit itu menjadi tular setelah dilihat dengan ‘berani’ bertindak pantas seolah-seolah sekawan anjing tersebut mahu dipukulnya.

Ternyata gertakan secara spontan itu berhasil apabila membuatkan anjing-anjing itu pula yang berlari dari budak berkenaan. Hebat! Insiden tersebut bagaimanapun tidak pula menyatakan di manakah ia pernah berlaku.

Menerusi keterangan rakaman itu pada 27 Mei lalu kira-kira pukul 12.40 tengah malam, budak lelaki tersebut dilihat sedang berjalan dengan seorang budak perempuan kemungkinan besar dalam perjalanan ke rumah mereka.

Namun kedua-duanya dilihat terhenti seketika apabila ternampak anjing-anjing itu muncul secara tiba-tiba dari lorong kecil dekat sebuah kuil Hindu yang berhampiran dengan deretan beberapa buah bangunan di situ.

Mungkin akibat ketakutan, budak perempuan itu berlari lintang-pukang meninggalkan budak lelaki berkenaan keseorangan. Mujur, kanak-kanak lelaki itu bijak bertindak sebelum dia diselamatkan beberapa orang dewasa!

Moral ceritanya, jika berdepan dengan suasana kecemasan, pastikan anda tidak panik dan cuba kawal suasana persekitaran sebagaimana berjaya dilakukan oleh budak kecil ini. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA