Haziq Jalani Pemeriksaan Di HKL

KUALA LUMPUR – Haziq Abdullah Abdul Aziz, individu yang mengaku sebagai pelaku dalam video seks bersama seorang lelaki mirip menteri Kabinet menjalani pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pagi ini.

Peguamnya, Ramesh Sivakumar berkata, anak guamnya itu berada di HKL sejak pukul 8 pagi tadi.

“Haziq Abdullah kini masih berada di HKL untuk menjalani pemeriksaan kesihatan tetapi tidak pasti bila proses tersebut akan selesai. Saya masih lagi belum dapat bertemu dengannya setakat ini.

“Namun, saya dimaklumkan oleh pegawai penyiasat bahawa dia tidak akan direman dan akan dibebaskan dengan jaminan polis selepas ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.

Dalam pada itu, tambah Ramesh, dia akan bertemu dengan Haziq Abdullah selepas ini untuk mengetahui segala maklumat diperlukan serta bagi arahan selanjutnya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed mengesahkan Haziq telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, dekat sini, semalam. – UTUSAN ONLINE

Loading...