“Haziq Boleh Dihukum Sebat” – Mufti

SEREMBAN – Individu yang mengaku dengan rela hati melakukan dosa termasuk berzina sudah boleh dijatuhkan hukuman mengikut undang-undang Syariah.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata jika si pelaku sendiri sudah membuat pengakuan dengan fikiran yang waras dan rela hati, sepatutnya hukuman mengikut undang-undang Syariah sudah boleh dilaksanakan.

“Kita melihat kepada situasi semasa, seperti apa yang tersebar sekarang ini video pengakuan yang dilakukan sendiri oleh tuan punya badan, dia mengaku telah melakukan perbuatan tersebut, dan jika mengikut Islam sudah boleh disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman.

“Hukuman adalah sebatan bagi yang bujang dan rejam kepada mereka yang telah berkahwin, tetapi dari segi undang-undang sivil kenalah tunggu hasil siasatan pihak berkuasa.

“Jika dia secara terus menerus mengaku melakukan dosa itu, memang sudah boleh dijatuhkan hukuman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas susulan dakwaan Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mengaku sebagai individu bersama seorang mirip menteri Kabinet dalam video intim yang tersebar baru-baru ini.

Tambahnya, menurut hukum syarak individu yang mengaku melakukan kemungkaran perlu dihukum, dan jika siasatan yang dilakukan terhadapnya secara berterusan mengaku masih melakukan perkara tersebut, maka hukuman sudah boleh dijatuhkan.

Pada 12 Jun lalu, bekas pegawai kanan kepada seorang Timbalan Menteri itu membuat pengakuan mengejutkan apabila bersumpah dia ialah individu terlibat dalam klip video intim bersama seorang lelaki mirip seorang menteri Kabinet.

Haziq memuat naik video pengakuan itu berdurasi 30 saat itu di akaun Facebooknya dan turut menamakan seorang menteri yang juga pemimpin kanan sebuah parti kerajaan terlibat. – Sinar Harian

Loading...