Hati-Hati ‘Arumanis’ Indonesia

KANGAR – Orang ramai diminta berhati-hati agar tidak terpedaya dengan menyangkakan mempelam dari Indonesia dikenali sebagai ‘arumanis’ sebagai harumanis yang menjadi buah ikon negeri ini.

Pengarah Pertanian negeri, Hafizuddin Othman berkata, kekeliruan mungkin timbul apabila warna dan bentuk fizikal luaran arumanis menyerupai harumanis.

“Persamaan itu termasuk ciri dua ‘tanduk’ pada arumanis yang merupakan ciri utama terdapat pada harumanis,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kata beliau, harumanis bagaimanapun dapat dibezakan dengan mempelam Indonesia itu daripada segi rasanya.

“Arumanis didapati mempunyai kandungan serat yang lebih tinggi dan kurang manis selain tidak berbau harum seperti harumanis,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau meminta peminat harumanis agar tidak keliru antara kedua-dua jenis mempelam tersebut yang mana arumanis didapati turut dijual di negeri ini dan luar Perlis.

“Arumanis dijual pada harga kira-kira RM4 hingga RM5 sekilogram berbanding harumanis antara RM30 hingga RM40 sekilogram pada musim ini,” jelasnya yang mengakui bimbang sekiranya pembeli dari luar negeri ini tertipu jika tidak berhati-hati.

Tambahnya, pihaknya tidak dapat menghalang kemasukan arumanis kerana pengimport membawa masuk ke negara ini seperti mempelam lain dari Thailand. – K! ONLINE