Hasrat FELDA Ambil Semula Tanah Langkah Tepat

KUALA LUMPUR – Hasrat FELDA untuk mengambil semula 350,000 hektar tanah yang dipajak kepada FGV Holdings Bhd (FGV) mampu mengembalikan kegemilangan agensi pembangunan rancangan tanah berkenaan.

Langkah itu juga diharap dapat meneruskan manfaat yang sebelum ini diperoleh peneroka awal dan generasi selepas mereka, sekali gus meletakkan FELDA kembali ke landasan yang betul menerusi pengukuhan semula kedudukan kewangan tanpa perlu lagi bergantung kepada kerajaan.

Presiden Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM), Mohamad Fadzli Hassan, berkata rancangan pengambilalihan itu adalah perkara pertama dicadangkan pihaknya ketika sesi bersama Pasukan Khas Menangani Isu FELDA, diketuai Tan Sri Abdul Wahid Omar pada Julai lalu.

Katanya, hasil ladang adalah sumber pendapatan utama FELDA yang membawa pendapatan antara RM1.2 hingga RM1.6 bilion setahun, namun selepas dipajak kepada FGV, FELDA hanya memperoleh RM250 juta setahun hasil pajakan, selain perkongsian untung 15 peratus.

“Jurang perolehan itu terlalu besar. Pengambilan semula ini kaedah paling baik jika mahu mengembalikan kegemilangan FELDA. Mungkin ada jumlah tertentu perlu dibayar FELDA, namun saya percaya FELDA sebagai badan berkanun dan kerajaan ada formula penyelesaian,” katanya.

Semalam, BH memetik Pengerusi FELDA, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata agensi berkenaan mahu mengambil semula 350,000 hektar tanah yang dipajak kepada FGV dalam usaha mengukuhkan kembali kedudukan kewangannya.

Mohamad Fadzli berkata, bagi mengukuhkan lagi usaha itu, MBFM mencadangkan supaya 68 kilang pemprosesan sawit milik FGV turut diambil alih FELDA kerana ia nadi bagi industri sawit untuk memastikan hasil dikeluarkan dari ladang mendapat nilai optimum. 

“Pengambilalihan kilang tersedia di kawasan tanah rancangan, 60 peratus buah tandan segar (BTS) disumbang peneroka, wajar diteliti,” katanya menambah, kesan kewangan dihadapi FELDA tidak begitu dirasai pada beberapa tahun pertama selepas ladang dipajak FGV. 

Namun kini, katanya, ia begitu ketara selepas banyak program dan bantuan tidak lagi dinikmati peneroka dan generasinya seperti tajaan dan pinjaman pendidikan untuk anak FELDA melanjutkan pengajian di dalam dan luar negara serta pembangunan usahawan dan komuniti di tanah rancangan.

“Sebelum ini, setiap tahun, hampir 4,000 anak FELDA mampu dibiaya dalam bidang pendidikan. Anak FELDA yang membuat pinjaman dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) juga menikmati pengurangan bayaran balik 30 peratus.

“FELDA membayar jumlah berkenaan jika mereka mendapat keputusan baik. Namun kini, keistimewaan itu sudah tidak disediakan untuk generasi pelapis yang kini sudah pun sampai generasi kelima.

“Program untuk belia FELDA tak dapat dianjur dalam skala besar kerana sumber kewangan bergantung pada Kementerian Belia dan Sukan,” katanya menegaskan, pimpinan dan ahli MBFM bersolidariti menyokong hasrat FELDA mengambil balik tanah dipajak kepada FGV itu.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Suara Generasi Baru FELDA, A Rashid Ridha Muhamad, berharap kerajaan akan campur tangan dalam proses pengambilan semula tanah yang dipajak FELDA kepada FGV.

“Tindakan memajak ladang FELDA kepada FGV sebelum ini, memang memberi kesan besar kepada kelangsungan pendapatan peneroka,” katanya. – BH Online

Loading...