Hasrat Ecah Jumpa Perdana Menteri Tercapai

SUNGAI BESAR – “Sangat gembira” – itulah sahaja yang mampu diucapkan oleh Siti Nuraisyah Sahrin, setelah dapat memenuhi impiannya untuk menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau menemui pelajar berusia 13 tahun itu; yang putus kedua-duanya belah kaki selepas digilis sebuah lori dalam kemalangan 18 Januari lepas, selepas menunaikan solat sunat tarawih di Masjid Al-Mukmin, Sungai Nibong, di sini, malam Khamis.

Hadir sama dalam pertemuan kira-kira 10 minit dengan pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Bagan Terap itu ialah calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd. Zohdi.

Siti Nuraisyah atau lebih mesra dengan panggilan Ecah, ketika ditemui pemberita berkata Perdana Menteri sempat bertanya mengenai kesihatan dirinya.

“Sangat gembira dapat jumpa Perdana Menteri sebab saya tak pernah jumpa orang yang selama ini banyak tolong saya,” katanya.

Siti Nuraisyah berkata beliau juga mengirimkan salam serta ucapan selamat hari raya Aidilfitri kepada Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau turut teruja apabila Perdana Menteri berjanji untuk menghadiahkan sebuah set drum kepadanya setelah mengetahui minatnya pada alat muzik itu.

Pertemuan itu mengubati kesedihannya petang Khamis apabila dikhabarnya Perdana Menteri tidak dapat bertandang ke rumahnya disebabkan perlu memenuhi jadual di Parlimen Sungai Besar.

Bagaimanapun tidak lama kemudian, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Khairun Aseh datang ke rumah beliau dan menyatakan sendiri akan membawa beliau dan keluarga bertemu Najib di Masjid Al-Mukmin.

Dalam kemalangan di Parit 16, Sungai Panjang, itu, Ecah yang membonceng motosikal ditunggang kakak tirinya, Syahmin Amira Roslanm, 14; terbabit dalam kemalangan kira-kira 3.30 petang ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah. – BERNAMA

#PRKSUNGAIBESAR

Loading...