Hasilkan Kenderaan Untuk Pasaran Eksport – Mahathir

KUALA LUMPUR – Syarikat pengeluar kereta Proton dan Perodua perlu menghasikan kenderaan yang boleh diterima pasaran antarabangsa, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata ini sekali gus bagi menangkis tanggapan negatif sesetengah rakyat Malaysia berhubung kualiti kereta buatan tempatan.

“Dia (pembuat kereta tempatan) kene design a car yang boleh eksport. Bagi pasaran di Malaysia ni orang Malaysia tak percaya kereta buatan Malaysia boleh jadi baik, jadi kene eksportlah,” katanya.

Dr Mahathir ditemui pemberita ketika melawat pameran Kuala Lumpur International Motor Show 2018 (KLIMS’18) di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Perdana menteri berkata apa yang dapat beliau perhatikan dalam lawatan itu ialah kenderaan yang dipamerkan menonjolkan ciri-ciri rekaan (designs) terkini.

“Kereta Proton pun nampak ada perubahan dan kemajuan,” kata Dr Mahathir yang meluangkan masa kira-kira 45 minit melawat pameran automotif itu diiringi Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Datuk Aishah Ahmad.

Dalam pada itu, Aishah berkata lebih 200,000 pengunjung direkodkan mengunjungi KLIMS’18 setakat ini.

Pameran 10 hari bermula 23 Nov itu berakhir esok. – BERNAMA

Loading...