Harimau Belang Hiasi Ikon Google Doodle

BERSEMPENA Hari Kebangsaan 2016 yang disambut oleh Malaysia pada hari ini, laman enjin pencarian terkenal iaitu Google melancarkan ikon Google Doodle khas.

Menerusi enjin pencarian itu, ikon Google Doodle menampilkan kelainan dengan memaparkan dua ekor spesies Harimau Malaya atau harimau belang yang menggantikan huruf ‘O’ pada perkataan Google.

Menurut pihak Google, pemilihan harimau belang itu adalah untuk melambangkan sebuah negara yang teguh dan dinamik, selain ciri-ciri haiwan pemangsa itu yang terkenal dengan sifat keberaniannya.

“Sukar untuk mencari binatang yang lebih hebat daripada harimau.

“Ia amat sesuai bahawa Harimau Malaya dipilih sebagai haiwan kebangsaan Malaysia, sebuah negara yang teguh dan dinamik,” katanya.

Harimau Belang Hiasi Ikon Google Doodle

Ikon Google Doodle ini akan berubah dari masa ke masa mengikut kesesuaian peristiwa yang berlaku di seluruh dunia.

Pada tahun lalu, bersempena Hari Kebangsaan Malaysia 2015, pihak Google Doodle menampilkan Teh Tarik dan bendera kebangsaan Malaysia.

Manakala tahun-tahun sebelum ini pihak Google turut menampilkan corak bunga raya, gasing, dan layang-layang.

Harimau Belang Hiasi Ikon Google Doodle

Selain Hari Kebangsaan, beberapa ikon terkenal tanah air juga pernah menghiasi Google Doodle ini, antaranya pengarah dan penulis skrip, arwah Yasmin Ahmad pada hari jadinya yang ke-56 dan juga lagenda bola sepak negara iaitu Mokhtar Dahari pada ulang tahunnya yang ke-61. – MYNEWSHUB.CC