“Hari Tu Marah Kalau Menteri Lain Jawab Soalan”

KUALA LUMPUR – Sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hingar seketika apabila timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin yang membacakan jawapan bagi Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Ini kerana Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan timbalannya, Dr. Mohd Radzi Md Jidin tidak berada di dalam dewan ketika giliran kementerian mereka untuk menjawab soalan daripada ahli Parlimen Petrajaya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Ahli Parlimen BN Kuala Krau, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said mencelah dengan mengingatkan Hanipa sewaktu beliau menjadi ahli Parlimen pembangkang, beliau yang paling lantang mengutuk kerajaan BN apabila perkara yang sama berlaku.

“Hari tu (Hanipa) marah kalau menteri lain jawab..masihkah kau ingat?” tanya Ismail kepada Hanipa yang juga ahli Parlimen Sepang.

Selain itu Ketua Pembangkang yang juga ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mencelah dengan mempersoalkan di mana menteri dan timbalan.

Timbalan Speaker, Datuk Rashid Hasnon kemudiannya terpaksa menjelaskan sudah ada surat pemakluman mengenai jawapan oleh menteri lain sebelum ini.

Timbalan Speaker: Memang ada surat pemakluman mengenai dengan jawapan oleh menteri lain

Kuala Krau: Dulu pun ada surat macam itu juga, dia bising juga.

Bera: Buat jawapan bertulis sahajalah.

Timbalan: Minta tidak ada gangguan daripada yang lain.

Hanipa kemudian meneruskan membaca jawapan yang dibekalkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Apabila diajukan soalan tambahan, Hanipa memberitahu jawapan bertulis akan diberikan. – Agenda News

Loading...