Friday, March 29, 2024

Creating liberating content

Kebab Paling Mahal Di...

LONDON - Seorang chef menghasilkan kebab di restorannya di sini, yang didakwa paling mahal...

Jajaran Sri Damansara Link...

KUALA LUMPUR - Jajaran Sri Damansara Link (SDL) Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) Fasa...

Kota Baharu Bakal Miliki...

KOTA BAHARU - Syarikat pemaju hartanah, Auei Teras Holdings Sdn Bhd merancang membangunkan...

Penantian 50 Tahun Dapatkan...

TELUK INTAN - Penantian hampir 50 tahun seorang lelaki warga emas orang kurang...

Hari Gawai Dirai Sederhana Di Rumah

KUCHING – Perayaan Hari Gawai yang diraikan masyarakat Dayak di Sarawak bermula hari ini disambut dalam suasana yang amat sederhana untuk tahun kedua berturut-turut berikutan keadaan pandemik Covid-19 yang masih melanda negeri ini.

Jeremy Jamaludin, 38, antara ribuan masyarakat Dayak di negeri ini yang mematuhi arahan untuk tidak pulang ke kampung halamannya di Bintulu dan hanya menyambut perayaan itu bersama keluarganya di bandar raya Kuching.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata demi menjaga keselamatan orang tuanya daripada dijangkiti wabak Covid-19, beliau lebih rela tidak pulang ke kampung kerana tidak mahu perkara tidak diingini berlaku.

“Saya dan keluarga hanya menyambut Gawai secara bersederhana. Kami juga tidak keluar menziarahi sesiapa kerana khuatir dijangkiti atau menjangkiti kerana sekarang ramai menjadi pembawa virus yang tidak mempunyai gejala,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) sebelum ini memutuskan tiada aktiviti ‘ngabang Gawai’ atau ziarah Gawai di bawah prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa di seluruh negeri Sarawak.

Bagi penjawat awam, Bibiana Kawa, 40, berkata sambutan Gawai kali ini sama seperti tahun lepas iaitu dia dan keluarga hanya menikmati juadah istimewa yang dimasaknya dan hanya meluangkan masa bersama anak-anak di rumah.

“Saya amat berharap dapat pulang menyambut Gawai bersama saudara-mara di Miri pada tahun ini, namun setelah melihat jumlah kes Covid-19 yang terus meningkat dan arahan tidak dibenarkan pulang ke kampung oleh kerajaan, saya dan keluarga terpaksa akur.

“Setiap kali Gawai, anak-anak yang paling gembira kalau pulang ke kampung, macam-macam aktiviti boleh dilakukan antaranya ngabang Gawai dan melihat orang kampung laga ayam,” kata ibu kepada dua anak itu.


Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud sebelum ini meminta ketua rumah panjang atau tuai rumah untuk memainkan peranan mereka memastikan SOP semasa PKP ini dipatuhi sepenuhnya pengikut-pengikut mereka.

Selain itu, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg juga menzahirkan rasa kesedihan beliau dengan keadaan kesihatan awam sekarang yang tidak membolehkan Gawai disambut meriah seperti biasa.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Pengerusi JPBN mengingatkan tentang peningkatan mendadak kes Covid-19 di Sarawak sejak Januari lepas dan kini melangkaui 40,000 kes.

Jika tahun lalu, rumah panjang adalah penempatan yang dianggap bebas daripada jangkitan Covid-19 namun sejak awal tahun ini hingga semalam, sebanyak 634 rumah panjang telah diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan susulan jumlah kes yang meningkat.

Ini sekali gus membuatkan mereka yang menyambut perayaan ini dan berada di bandar untuk terus kekal berada di kediaman masing-masing dan terpaksa melupakan hasrat mereka untuk balik ke kampung halaman atau rumah panjang mereka. – BERNAMA

Kategori