Harga Turun Sebab Kuasa Pasaran, Bukan Boikot – Saifuddin

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menegaskan penurunan harga barangan tertentu disebabkan kuasa pasaran dan bukan kerana tindakan boikot dilakukan sesetengah pihak ketika ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setakat ini tidak ada fakta yang dapat mengesahkan bahawa harga sesetengah barangan yang turun di pasaran ketika ini adalah kerana tindakan boikot.

“Saya faham katanya harga minyak masak turun, namun turun atau naik harga ia bergantung kepada kuasa pasaran, kalau sumber utamanya itu harga jatuh, harga runcit juga akan jatuh.

“Ataupun kalau permintaan banyak, jadi ia bergantung permintaan dan penawaran, itu prinsip asas ekonomi. Jadi kita tidak mahu kaitkan dengan boikot, sebab setakat ini tidak ada siapa boleh sahkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan 14 trak pendingin kepada Yayasan Food Bank Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan pihak tertentu bahawa kempen utamakan produk Muslim atau ‘buy Muslim first’ (BMF) telah berjaya menurunkan harga barangan tertentu termasuk harga minyak masak di pasaran.

Sementara itu, mengulas Program Food Bank Malaysia, Saifuddin Nasution berkata, sejak dilaksanakan pada Ogos tahun lalu, pihaknya belum menerima aduan mengenai makanan yang diagihkan kepada penerima tidak berkualiti.

“Program ini mementingkan kualiti makanan yang mana kita lakukan penyisihan antara makanan baik dan kurang baik, saya harap disiplin ini terus kekal dan menjadi keutamaan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, 14 trak pendingin yang disediakan hasil peruntukan RM3 juta oleh Kementerian Kewangan baru-baru ini bertujuan memudahkan logistik bagi pelaksanaan Program Food Bank Malaysia.

“Trak yang mampu memuatkan satu tan barang makanan ini akan menjadi medium untuk mendapatkan bekalan daripada syarikat pembekal termasuk pasaraya dan hotel sebelum ke lokasi terpilih bagi pengagihan termasuk di universiti.

“Kemudahan ini pastinya akan meningkatkan keupayaan kami untuk memperluaskan pelaksanaan program Food Bank Malaysia dan sejak Ogos tahun lalu, lebih 650 tan makanan diagihkan menerusi program berkenaan membabitkan 238,000 penerima,” katanya.