Harga Simen Kekal – Saifuddin

PUTRAJAYA – Harga simen kekal selepas penggiat industri bersetuju tidak menaikkan harga hasil pertemuan dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurut Saifuddin Nasution, dalam pertemuan yang diadakan semalam, pihak industri memberi alasan kenaikan kos import bahan membuat simen punca mereka menaikkan kos.

Bagaimanapun jelas beliau, pihak kementerian dalam pertemuan itu turut memaklumkan sebarang kenaikan perlu mendapat kelulusan daripada pihak kementerian.

β€œIni kerana, simen adalah bahan kawalan dan sebarang kenaikan tanpa kelulusan daripada kementerian merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan penggiat industri boleh dikenakan tindakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Garis Panduan Pematuhan Standard Filem Penghadang Haba Kenderaan di sini hari ini.

Sebelum ini, beberapa syarikat pemaju mengadu mengenai kenaikan mendadak harga simen antara 40 hingga 50 peratus kerana dibimbangi akan memberi kesan buruk khususnya kepada sektor pembinaan dalam negara.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, tindakan penggiat industri simen menaikkan harga simen boleh memberi kesan kepada dasar kerajaan yang mahu membina sejuta rumah mampu milik.

Ini kerana katanya, simen merupakan komponen utama dalam industri terutama perumahan.

Beliau berkata, pihak kementerian boleh sahaja bertindak ke atas penggiat industri yang tidak memaklumkan kepada kementerian berkenaan kenaikan harga simen.

β€œKita yang keluarkan lesen mengilang, memborong di bawah Akta Kawalan Bekalan, ada syarat, nak naik harga mesti maklum Kementerian dahulu, jika langgar peraturan, ia terdedah kepada tindakan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, untuk berlaku adil pihak kementerian telah mengadakan pertemuan dengan mereka bagi mendengar masalah yang dihadapi sehingga bertindak menaikkan harga.

β€œHasil berpincangan, semua setuju untuk tidak menaikkan harga. Mereka juga memaklumkan akan memohon kepada kementerian sekiranya hendak menaikkan harga simen pada masa hadapan,” katanya.

Loading...