Harga Rumah Masih Paras Sangat Tak Mampu Milik

KUALA LUMPUR – Harga rumah di Malaysia masih berada pada paras yang sangat tidak mampu milik jika dibandingkan dengan pendapatan berikutan ketidakpadanan yang ketara dan berlarutan antara permintaan dengan bekalan harta kediaman.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan (Separuh Kedua 2019) yang dikeluarkan hari ini berkata, namun begitu, risiko pembetulan yang ketara terhadap harga rumah akan terus dikekang oleh permintaan yang kukuh terhadap perumahan, terutama bagi harta tanah berharga bawah RM500,000.

Pada tempoh sembilan bulan pertama 2019, kategori harta tanah tersebut mencakupi 83 peratus daripada jumlah transaksi.

Bank pusat tersebut berkata harga rumah di Malaysia terus meningkat dengan sederhana pada suku ketiga 2019, berikutan permintaan yang berterusan untuk harta tanah bertingkat mampu milik.

Aktiviti pasaran perumahan kekal kukuh selepas mencatatkan prestasi yang lebih baik pada separuh pertama tahun 2019.

Perkembangan ini adalah hasil daripada pelbagai inisiatif yang diperkenalkan pada tahun 2019 oleh kerajaan dan sektor swasta untuk menyokong pemilikan rumah, termasuk pengecualian duti setem serta diskaun dan rebat yang diberikan oleh pemaju.

Bagi keseluruhan tahun 2019, jumlah transaksi pasaran perumahan dari segi jumlah dijangka meningkat dengan lebih kukuh.

Selain itu, pertumbuhan pendapatan, pertambahan isi rumah baharu serta pelbagai inisiatif untuk mengurangkan kos untuk memiliki rumah terus menyokong permintaan perumahan pada tahun 2019.

Permintaan untuk unit rumah mampu milik terus melebihi bekalan dengan margin yang besar, menandakan masih terdapat ruang pelarasan harga selanjutnya, khususnya bagi bekalan rumah baharu, kata BNM.

Sebaliknya, usaha mengimbangkan semula bekalan rumah kurang memuaskan.

Purata jumlah harta kediaman yang baru dilancarkan yang berharga kurang daripada RM300,000 merosot dalam suku-suku tahun kebelakangan ini meskipun permintaan daripada isi rumah adalah kukuh.

Menurut bank pusat, data terkini juga menunjukkan bahagian pelancaran rumah baharu dalam segmen harta tanah ini semakin menurun, lantas mengubah trend terdahulu.

Sekiranya trend sebegini berterusan, risiko pelarasan harga pada masa hadapan mungkin meningkat kembali disebabkan oleh kekangan kemampuan.

Loading...