Harga RON97 Naik Lagi 12 Sen Seliter

PUTRAJAYA – Harga runcit petrol RON97 terus meningkat dengan kenaikan 12 sen daripada RM2.67 kepada RM2.79 seliter bagi tempoh bermula tengah malam ini sehingga 4 Oktober depan.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, harga RON95 dan diesel pula masing-masing kekal pada paras RM2.08 dan RM2.18 seliter bagi tempoh sama.

Menurutnya, berdasarkan pengiraan di bawah formula Mekanisme Harga Automatik, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh itu sepatutnya adalah sebanyak RM2.39 dan RM2.49 seliter. 

“Ini menunjukkan kenaikan dari minggu lepas bagi harga runcit produk petrol RON95 yang berada pada paras RM2.37 seliter dan diesel yang berada pada paras RM2.32 seliter. 

“Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat,” katanya di sini hari ini.

Kementerian Kewangan berkata, dengan pengekalan harga runcit bagi kedua-dua produk ini, anggaran subsidi yang perlu ditanggung bagi tempoh 28 September sehingga 4 Oktober adalah berjumlah RM173.26 juta.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM143.56 juta subsidi diperuntukkan untuk produk RON95 manakala subsidi bagi diesel adalah RM29.7 juta,” katanya. – K! ONLINE