Harga RON95, Diesel Kekal, RON97 Turun 2 Sen

PUTRAJAYA – Harga runcit petrol RON95 dan diesel masing-masing kekal pada paras RM2.08 dan RM2.18 seliter bagi tempoh bermula tengah malam ni sehingga 24 Mei depan.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, harga runcit petrol RON97 pula turun sebanyak dua sen iaitu daripada RM2.70 kepada RM2.68 seliter untuk tempoh sama.

“Berdasarkan pengiraan di bawah formula Mekanisme Harga Automatik, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh tengah malam ini hingga 24 Mei depan sepatutnya masing-masing adalah RM2.38 dan RM2.45 seliter.

“Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan mengurangkan kos sara hidup rakyat,” kata kenyataan itu di sini, hari ini.

Sementara itu, Kementerian Kewangan berkata, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh kerajaan bagi tempoh berkenaan adalah berjumlah RM99.19 juta.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM72.5 juta subsidi diperuntukkan untuk produk RON95 manakala subsidi bagi diesel adalah RM26.69 juta. – K! ONLINE

Loading...