Harga RON95, Diesel Diturunkan Dari Paras Ditetapkan

23

PUTRAJAYA – Harga runcit bahan api subsidi RON95 dan diesel diturunkan di bawah paras yang ditetapkan iaitu masing-masing RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter kepada RM2.04 seliter dan RM2.08 seliter bermula 12 tengah malam ini sehingga 14 Februari depan.

Harga runcit RON97 pula turun sebanyak tujuh sen kepada RM2.34 seliter bagi tempoh berkenaan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika mengumumkan perkara tersebut memberitahu, penurunan itu adalah selaras dengan penurunan harga minyak global.

“Kerajaan komited dengan dasar penstabilan harga runcit produk petroleum selaras dengan janji Manifesto Pakatan Harapan dan telah melaksanakan penetapan harga runcit secara mingguan dengan had harga tidak melebihi RM2.08 seliter (RON95) dan RM2.18 seliter (diesel).

“Ini akan membolehkan para pengguna menikmati sebarang perubahan harga dengan lebih cepat selaras dengan penurunan harga runcit produk petroleum di pasaran dunia dan melindungi pengguna daripada kenaikan harga yang melebihi paras yang telah ditetapkan,” katanya semasa sidang media di kementeriannya hari ini.

Menurut Guan Eng, penurunan harga minyak global pastinya memberi kesan terhadap pendapatan kerajaan namun begitu sekiranya komoditi tersebut berada di paras tinggi, kerajaan terpaksa mengeluarkan wang yang banyak untuk menampung subsidi bahan api pula.


“Apa yang kita tekankan adalah manfaat kepada rakyat dari segi kos sara hidup.

“Kita akan buat penyelarasan setiap minggu jadi jika mahu tengok kedudukan sepanjang tahun, masih panjang,” katanya lagi.

Tambah Guan Eng, kerajaan telah membiayai subsidi bahan api sebanyak RM6 bilion pada 2019. – MalaysiaGazette