Harga Petrol RON97 RM2.41 Seliter

18

PUTRAJAYA – Harga runcit petrol RON95 dan diesel masing­masing kekal pada paras RM2.08 dan RM2.18 seliter bagi tempoh bermula tengah malam ini sehingga 21 Jun depan.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, harga runcit petrol RON97 pula turun sebanyak 22 sen iaitu daripada RM2.63 kepada RM2.41 seliter untuk tempoh sama.

Menurutnya, penurunan itu berikutan harga produk petroleum yang diproses di pasaran dunia menunjukkan trend penurunan susulan penurunan purata harga minyak mentah Brent berbanding minggu sebelumnya.

“Pada masa sama, perkembangan semasa berikutan ketegangan di rantau Teluk seperti yang berlaku semalam juga berkemungkinan memberi kesan kepada kenaikan harga minyak dunia,” katanya di sini hari ini.

Berdasarkan pengiraan di bawah formula Mekanisme Harga Automatik, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh sama sepatutnya adalah sebanyak RM2.11 dan RM2.19 seliter masing-masing.


“Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada paras RM2.08 dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan mengurangkan kos sara hidup rakyat,” katanya.