Harga Petrol RON97 Naik 4 Sen Kepada RM2.53 Seliter

KUALA LUMPUR – Harga runcit petrol RON97 naik sebanyak 4 sen seliter iaitu daripada RM2.49 seliter kepada RM2.53 seliter bagi tempoh 6 Julai 2019 sehingga 12 Julai ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, harga runcit petrol RON95 dan diesel masing-masing kekal iaitu pada paras RM2.08 serta RM2.18 seliter bagi tempoh sama.

“Berdasarkan pengiraan di bawah formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya adalah sebanyak RM2.23 seliter dan RM2.32 seliter masing-masing.

“Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan mengurangkan kos sara hidup rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Guan Eng menambah, anggaran subsidi yang perlu ditanggung kerajaan dalam tempoh berkenaan adalah berjumlah RM99.53 juta.