Harga Petrol RON97 Naik 3 Sen Seliter

KUALA LUMPUR – Harga runcit petrol RON97 naik sebanyak tiga sen seliter kepada RM2.53 seliter bagi tempoh 14 hingga 20 September.

Manakala harga runcit petrol RON95 kekal pada paras RM2.08 seliter dan harga runcit diesel kekal pada paras RM2.18 seliter.

Kementerian Kewangan berkata, pengiraan di bawah formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya adalah sebanyak RM2.23 seliter dan RM2.29 seliter masing-masing.

Ini menunjukkan kenaikan dari minggu lepas bagi harga runcit produk petrol RON95 yang berada pada paras RM2.20 seliter dan diesel yang berada pada paras RM2.26 seliter.

Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat.

Dengan pengekalan harga runcit bagi kedua-dua produk ini, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh Kerajaan dalam tempoh 14 September 2019 sehingga 20 September 2019 adalah berjumlah RM68.71 juta.