Harga Petrol RON97 Naik 14 Sen Seliter

PETALING JAYA – Harga petrol RON97 akan naik 14 sen daripada RM2.53 kepada RM2.67 seliter mulai tengah malam ini.

Harga RON95 dan diesel pula kekal RM2.08 serta RM2.18 seliter.

Kementerian Kewangan ketika mengumumkan harga petrol hari ini berkata, berdasarkan formula Mekanisme Harga Automatik (APM), harga runcit RON95 dan diesel mulai 21 hingga 27 September ini sepatutnya RM2.37 dan RM2.32 seliter.

“Ini menunjukkan kenaikan dari minggu lepas bagi harga runcit produk petrol RON95 yang berada pada paras RM2.23 seliter dan diesel yang berada pada paras RM2.29 seliter.

“Kenaikan harga minyak dunia dipercayai ekoran serangan terhadap dua loji minyak di Arab Saudi pada 14 September 2019 yang telah menjejaskan pengeluaran dan pengeksportan minyak negara tersebut.”

Tetapi, katanya, kerajaan tidak berbuat demikian dan anggaran subsidi yang perlu ditanggung dalam tempoh seminggu akan datang berjumlah RM123.16 juta.

Harga runcit minyak 21 September – 27 September 2019

HARGA BAHARU HARGA LAMA +/-

RON95 RM2.08 RM2.08 0.00 sen

RON97 RM2.67 RM2.53 +0.14 sen

DIESEL RM2.18 RM2.18 0.00 sen