HARGA minyak semasa sepatutnya lebih rendah sesuai dengan harga minyak dunia, dan pemimpin Pakatan Harapan, Rafizi Ramli sendiri sudah mengesahkan yang kerajaan kini mengutip cukai petrol dari rakyat.

Demikian tulisan terbaru bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menimbulkan kembali isu harga bahan bakar dan cukai oleh kerajaan PH.

“Saya baca pengiraan dibuat Rafizi Ramli dan dia sendiri mengesahkan kerajaan PH kini sedang mengutip cukai petrol dari rakyat setiap hari,” katanya dalam perkongsian ringkas di Facebook.

Terdahulu, strategis PKR, Rafizi turut menggesa sistem semakan harga minyak secara mingguan dilaksanakan semula, yang diakuinya boleh menurunkan harga di pam.

Rafizi berkata pelaksanaan sistem mingguan akan membolehkan harga RON95 turun sebanyak 20 sen untuk beberapa minggu akan datang berdasarkan kejatuhan harga minyak mentah dunia.

“Sejak beberapa minggu lalu, harga minyak mentah dunia mengalami penurunan mendadak, terutama minggu ini. Bagi memastikan harga yang dibayar rakyat melambangkan keadaan pasaran semasa, saya memohon supaya kerajaan mempertimbangkan menyemak harga mengikut formula secara mingguan.

“Rakyat sudah terbiasa dengan pengiraan mengikut minggu seperti yang ditinggalkan oleh pentadbiran Datuk Seri Najib Razak. Malah, rakyat tidak tahu pun bahawa kerajaan kini menyemak harga mengikut formula secara bulanan,” katanya.

“Oleh kerana kiraan kerajaan menggunakan rujukan harga bulanan purata bagi November 2018 untuk menetapkan harga RON95 bagi Disember tahun ini, ia menunjukkan harga mengikut formula mekanisme harga automatik (APM) masih lagi lebih tinggi, RM2.20 seliter yang ditetapkan,” jelasnya lagi.

Najib berkata, beliau bersetuju dengan kata Datuk Seri Wee Ka Siong, “Jika kementerian kewangan berani capatikan janji untuk memberi subsidi petrol kepada rakyat, sekurang-kurangnya mesti berani juga untuk mengaku mereka sedang mengutip cukai petrol dari rakyat bermula dari awal bulan November.”

Menurut Najib, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng masih tidak memberikan jawapan tentang persoalan ini.

Bekas perdana menteri ini juga berkata semasa pentadbiran beliau, cukai petrol tidak pernah dikenakan.

“Secara jujur, kerajaan BN ketika pentadbiran saya tidak pernah mengenakan cukai petrol,” katanya lagi.

Jelasnya, keputusan tidak mengenakan cukai petrol itu menyebabkan beberapa tahun lepas harga minyak RON95 pernah mencecah RM1.60 seliter dan diesel pula RM1.35.

“Sebab itu, rakyat pernah menikmati harga RON95 semurah RM1.60 sehingga RM1.70 dan diesel pada harga RM1.35 dalam tempoh dua hingga tiga tahun sebelum ini walaupun ramai tidak ingat atau buat buat tak ingat,” katanya.

Najib menegaskan, harga minyak RON95 dan diesel pernah turun ke paras rendah semasa harga minyak dunia murah pada masa pentadbirannya.

“Internet takkan lupa harga RON95 dan diesel pernah murah ketika harga minyak dunia murah,” kata Najib. – Mynewshub.tv

Loading...