Harga Minyak Mentah Dorong Ringgit Tinggi

KUALA LUMPUR – Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, didorong minat belian susulan kenaikan harga minyak mentah, kata peniaga.

Pada 5 petang, ringgit meningkat 190 mata asas kepada 4.1630/1680 berbanding dolar AS daripada 4.1820/1870 ketika ditutup pada Jumaat.

Ketua Dagangan Asia-Pasifik OANDA, Stephen Innes berkata harga minyak mentah yang meningkat sebanyak lima peratus hari ini, telah mendorong pergerakan aktif ke atas ringgit.

Beliau berkata, persetujuan antara AS dan China untuk tidak menaikkan tarif perdagangan dalam tempoh 90 hari telah meredakan pasaran ekuiti tempatan, tukaran asing Asia dan pasaran komoditi.

“Sesuatu yang tidak dijangkakan bagi prestasi ringgit hari ini, memandangkan harga minyak mentah lebih baik, ekuiti stabil dan aliran masuk asing ke pasaran bon telah mewujudkan peningkatan mengejut bagi ringgit,” katanya kepada Bernama.

RInggit turut ditutup tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0474/0515 daripada 3.0499/0546 ketika ditutup pada Jumaat, selain naik berbanding yen kepada 3.6695/6748 daripada 3.6843/6903.

Mata wang tempatan stabil berbanding euro kepada 4.7312/7373 daripada 4.7545/7619.

Ringgit tinggi berbanding pound Britain kepada 5.3195/3275 daripada 5.3375/3443 pada Jumaat. – BERNAMA

Loading...