Harga Mane Pecah Rekod Dunia

BARCELONA perlu membayar dengan harga rekod dunia £224 juta (RM1.221 bilion) jika mahu menandatangani Sadio Mane daripada Liverpool, menurut The Mirror.

Ini berdasarkan klausa persetujuan membabitkan kedua-dua kelab apabila Philippe Coutinho meninggalkan Anfield ke Barcelona pada musim panas 2018.

Coutinho dijual dengan harga £140 juta (RM763 juta) tetapi perjanjian inilah yang membabitkan pemain utama dapat menguntungkan Reds.

Barcelona perlu menambah £89 juta (RM485 juta) selain yuran perpindahan jika mahu menandatangani mana-mana pemain utama Liverpool yang enggan dilepaskan pendahulu Liga Perdana itu.

Klausa itu diwujudkan bagi mengelakkan pemain terbaik mereka disambar kelab Catalan – seperti Coutinho tetapi juga Luis Suarez dan Javier Mascherano sebelum ini.

Berdasarkan harga pasaran, Mane dianggarkan bernilai £135 juta (RM736 juta), bermakna Barca perlu membelanjakan £224 juta (RM1.221 bilion) jika mahu menandatangani penyerang itu sekali gus mengatasi harga £200 juta (RM1.090 bilion) yang dibayar Paris Saint-Germain untuk mendapatkan Neymar pada 2017.

Klausa itu hanya dipersetujui selama tiga tahun dan akan tamat pada musim panas 2021.

Mane menjadi nadi utama prestasi mantap Liverpool musim ini dan pemain berusia 27 tahun itu telah menjaringkan 13 gol dalam liga di samping enam bantuan jaringan kepada rakan sepasukan.

Buat masa sekarang tiada sebab pemain Liverpool meninggalkan Merseyside tetapi aura dan daya tarikan Real Madrid dan Barca tampak mampu mencipta perbezaan.

Mampukah Liverpool terus menyimpan bekas pemain Southampton itu? – Agensi