Harga Kubis Naik Mendadak

PETALING JAYA – Proses penilaian dan kelulusan permit import untuk kubis yang makan masa terlalu lama telah menyebabkan kekurangan bekalan sekali gus melonjakkan harga sayur itu pada kadar menghampiri 100 peratus.

Harga borong untuk kubis telah meningkat daripada RM1.70 sekilogram pada bulan lalu kepada RM3 pada masa ini.

Sinchew Daily melaporkan, walaupun kebanyakan pengimport telah mengemukakan permohonan import kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sejak Oktober lalu, tetapi mereka hanya dipanggil untuk temuduga pada tahun ini.

“Ada yang gagal mendapat permit import walaupun pada Februari dan Mac tahun ini,” kata Presiden Persekutuan Perusahaan Sayur-sayuran, Zhong De Qiang.

Jelasnya, apabila proses kelulusan permit tergendala, maka jumlah bekalan kubis luar negara berkurangan, sekali gus mendorong kenaikan harga di pasaran.

“Apa yang berlaku sekarang bukanlah kekurangan kubis dari China, tetapi ialah kekurangan permit import,” katanya.

Menurutnya lagi, dalam keadaan stabil, harga borong kubis biasanya berlegar antara RM1 hingga RM2 sekilogram.

“Harga kubis melebihi RM2 pada akhir bulan April dan sekarang ia sudah mencecah RM3,” katanya.

Katanya lagi, Malaysia semakin bergantung kepada kubis import berikutan kekurangan bekalan dari Cameron Highlands.

“Petani di Cameron Highlands telah melakukan perubahan dengan menanam tanaman lain yang menjanjikan pulangan lebih baik, ini menyebabkan pasaran semakin bergantung kepada kubis import,” katanya. – MalaysiaGazette

Loading...