Harga Kereta Mahal, Kos Sara Hidup SG Tertinggi Dunia

SINGAPURA – Kos untuk memiliki sebuah kereta di Singapura membawa maksud republik itu termasuk dalam senarai negara termahal untuk diduduki buat tahun kelima berturut-turut, menurut sebuah kaji selidik.

Kos untuk memiliki sebuah kereta sedan di negara itu mencecah US$76,000 (RM297,654.00) — lebih tinggi daripada negara-negara hab kewangan yang lain di dunia.

Malah, bandar-bandar ‘mahal’ yang lain seperti Tokyo dan New York juga tidak memasuki 10 teratas senarai yang dibuat oleh Unit Kepakaran Ekonomi (EIU) itu, mengalahkan Paris, Zurich, Hong Kong dan Oslo.

Seoul dan Geneva berkongsi tangga keenam, manakala Copenhagen, Tel Aviv dan Sydney juga termasuk di dalam senarai tersebut.

Meskipun kos dalam negeri di Kota Singa itu seperti servis bantuan pembersihan rumah atau pejabat masih murah, namun bekas koloni British itu “kekal sebagai tempat paling mahal di dunia untuk membeli dan memiliki kereta,” menurut EIU.

Singapura telah mengelak daripada berlakunya kesesakan lalu lintas dengan mengawal pemilikan kereta melalui sistem kuota di mana pembeli harus membayar Sijil Pemilikan Kenderaan yang bernilai hampir SG$40,000 (RM119,548.41) — jauh lebih mahal daripada harga sebenar kereta yang dibeli!

Ini bermakna, kereta sedan biasa akan berharga SG$100,000 (RM298,871.02) setiap satu!

Harga barang-barang segar di bandar-bandar besar di Asia lazimnya lebih mahal berbanding tempat-tempat lain di seluruh dunia, manakala kos sara hidup di Eropah tinggi dalam bahagian barangan rumah, penjagaan diri, rekreasi dan hiburan, menurut kaji selidik itu lagi. – MYNEWSHUB.CC

Loading...