Harga Emas Jatuh 2 Bulan Berturut-Turut

SINGAPURA – Harga emas menuju kepada penurunan bulanan kedua berturut-turut apabila kenaikan pulangan bon menjejaskan permintaan terhadap logam itu yang tidak menanggung kadar faedah.

Dalam masa sama, pelabur mempertimbangkan kenyataan daripada Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed), Jerome Powell berhubung pertumbuhan dan inflasi, dengan berita vaksin yang menggalakkan.

Harga emas susut lima peratus pada 2021 selepas mencatatkan kenaikan tahunan tertinggi dalam tempoh sedekad.

Ia dicatatkan ketika penanda aras pulangan Perbendaharaan 10-tahun meningkat ke paras paling tinggi setahun dan pegangan dalam dana dagangan pertukaran disokong oleh penurunan harga logam itu.

Goldman Sachs Group Inc menurunkan unjurannya terhadap harga emas, dengan merujuk kepada peralihan terhadap aset lebih berisiko sebagai punca prestasi lemah logam itu.

Spot emas susut 0.1 peratus kepada AS$1,803.81 seauns pada 7.35 pagi di Singapura dan 2.4 peratus lebih rendah pada Februari, selepas merosot 2.7 peratus bulan sebelumnya.

Harga perak turut susut, manakala platinum dan palladium hampir tidak berubah.

Bloomberg Dollar Spot Index tidak berubah selepas susut selama lima hari.

Dalam testimoni hari kedua kepada Kongress, Powell menegaskan pandangannya bahawa ekonomi masih lagi jauh daripada pemulihan dan isyarat kenaikan harga tidak semestinya akan mencetuskan inflasi tinggi.

Dari segi vaksin, suntikan Pfizer Inc dan BioNTech SE amat berkesan terhadap COVID-19, dalam satu kajian membabitkan 1.2 juta orang di Israel, keputusan yang dikatakan oleh pakar kesihatan awam bahawa imunisasi akan mengakhiri pandemik ini. – Bloomberg