Haram Simpan Patung Di Rumah?

ANAK patung dengan pelbagai rupa sama ada manusia atau haiwan sering kali menjadi pilihan kebanyakan isi rumah sebagai menghias bilik kerana rupanya yang comel.

Malah, terdapat segelintir ibu bapa yang dikurniakan anak perempuan menghiasi ruang kamar mereka dengan pelbagai patung mainan.

Pun begitu, ibu bapa harus menyedari bahawa terdapat larangan dalam beberapa hadis mengenai menyimpan dan meletakkan patung dalam rumah serta mengukirnya.

Antaranya Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya malaikat tidak akan masuk suatu rumah yang di dalamnya mempunyai anjing dan gambar patung.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Menurut laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, berdasarkan nas al-Quran dan beberapa hadis, jelaslah bahawa pengharaman patung tersebut adalah berkaitan haram mengukir patung menyerupai ciptaan Allah SWT dan haram untuk disembah atau dimuliakan.

Namun, sekiranya patung mainan dijadikan sebagai alat permainan dan pembelajaran bagi kanak-kanak, maka hukumnya adalah harus.

Ini berdasarkan hadis diriwayatkan oleh Aisyah r.ha. bermaksud: “Aku pernah bermain patung permainan ketika tinggal bersama Nabi SAW, sedangkan aku memiliki beberapa sahabat yang biasa bermain bersamaku. Maka, ketika Rasulullah SAW masuk dalam rumah, sahabat aku itu pun bersembunyi daripada Baginda. Lalu Baginda SAW menyerahkan mainan padaku satu demi satu lantas mereka pun bermain bersamaku.” (Riwayat Bukhari)

Hal ini kerana patung permainan kanak-kanak bukanlah sesuatu yang disembah atau dimuliakan. Bahkan, kanak-kanak tersebut dengan tabiatnya akan mematahkan dan merosakkan patung tersebut seperti terputus kepala atau anggota badannya.

Ini jelas menunjukkan bahawa ia adalah sebagai patung permainan bagi mereka dan jauh sekali untuk dihormati, apatah lagi disembah.

Loading...