Haram Gantung Gambar Keluarga?

TENTUNYA ramai ingin melihat rumah mereka dihias cantik bukan sahaja dengan susunan perabot bersesuaian, tetapi juga hiasan sampingan yang mampu membangkitkan seri sesuatu ruang. 

Antara hiasan sering menjadi pilihan adalah menggantung gambar kahwin atau keluarga sebagai hiasan dinding dan tidak kurang yang menyusun kemas gambar-gambar keluarga atas rak-rak yang disediakan khusus untuk hiasan tersebut.

Namun hakikatnya perbuatan menggantung gambar-gambar keluarga tidak dibenarkan dalam Islam. Sebaiknya, umat Islam tidak melakukan perbuatan menggantung gambar makhluk hidup pada dinding rumah, biarpun hanya separuh badan. 

Jika ingin menghias dinding rumah, hiaslah dengan gambar pemandangan, bunga-bungaan atau kaligrafi yang juga mampu memberikan suasana indah, nyaman dan mendamaikan dalam ruang kediaman.

Imam al-Nawawi menjelaskan dalam kitabnya ‘Syarah Sahih Muslim’ iaitu: “Menggunakan sesuatu yang terdapat padanya gambar binatang, jika ia digantung pada dinding atau dicetak pada pakaian, serban atau selainnya, iaitu diletak gambar itu di tempat yang dianggap mulia, maka hukumnya adalah haram.” 

Gambar binatang itu termasuklah gambar makhluk bernyawa seperti manusia. Tetapi, jika gambar tidak bernyawa seperti pokok, batu atau sungai, maka ia tidak dilarang daripada digantung pada dinding (Abdul Karim Zaidan, Mufassal fi ahkam al-mar’ah, jil. 3, hlm. 464)

Selain itu, dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abi Talhah r.a., Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Sesungguhnya malaikat tidak akan masuk suatu rumah yang di dalamnya mempunyai anjing dan gambar patung.” – Riwayat Bukhari (3225) dan Muslim (2016).

Malaikat-malaikat yang tidak masuk ke dalam rumah tersebut ialah Malaikat Rahmah iaitu malaikat yang memohon keberkatan dan keampunan bagi penghuninya. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 7/207)

Bagaimanapun, patung permainan kanak-kanak dan tidak diagungkan atau dimuliakan, malah hanya dianggap sekadar barang permainan, maka dibolehkan dengan syarat ia bukan patung yang besar dan hanyalah semata-mata patung kanak-kanak.

Tetapi, sebaiknya dielakkan juga agar tidak menimbulkan perkara-perkara yang boleh membawa kepada perasaan pemujaan. 

SUMBER: Laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan e-smaf.islam.gov.my

Loading...