Haram ‘Bunga’ Sampai Bila-Bila, Pesan Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Keputusan Anugerah Juara Lagu (AJL) ke- 33 semalam menjadi jenaka politik dikalangan pemimpin dan penyokong pembangkang hari ini.

Tidak ketinggalan, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa turut sama mencuit netizen dengan meminta penduduk di Semenyih menghayati keputusan penuh AJL 33 semalam.

Menurusi Twitternya, Annuar berkata keputusan AJL 33 semalam ialah ‘haram bunga sampai bila-bila’.

Difahamkan coretan Ahli Parlimen Ketereh itu merujuk kepada pengundi di Semenyih tidak lagi memberi sokongan kepada Bersatu yang menggunakan simbol bunga raya.

“Rakyat Semenyih hayati keputusan AJL 33 semalam, keputusannya ialah haram bunga sampai bila-bila,” tulisnya di Twitter.

Semalam, lagu Haram ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong muncul juara pada AJL 33.

Lagu dendangan Hael dan Dayang Nurfaizah itu melayakkan mereka membawa pulang hadiah RM50,000 dan trofi.

Terdahulu, Dun Semenyih kosong selepas kematian wakil rakyatnya daripada Bersatu, Bakhtiar Mohd Nor, 57, akibat serangan jantung pada 11 Januari lalu di Hospital Kajang.

Bakhtiar menewaskan wakil rakyat dua penggal di kawasan itu, Datuk Johan Abd Aziz daripada BN dengan 23,428 undi pada PRU14, 9 Mei lalu.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari yang mewakili PH Selangor juga telah mengumumkan kerusi Dun Semenyih kekal ditandingi Bersatu pada PRK 2 Mac ini.

Meskipun Bersatu belum memilih calonnya, tetapi sudah bertiup khabar angin bahawa Ketua Bahagian Bersatu Hulu Langat, Rais Zulkifli akan ditempatkan sebagai calon Bersatu untuk berentap di Semenyih. – Sinar Harian

Loading...