Hanya Warga Nepal Dibenar Bekerja Pengawal Keselamatan – KDN

PUTRAJAYA – Hanya pengawal keselamatan warga Nepal dibenarkan bekerja dengan syarikat kawalan keselamatan swasta yang berlesen ketika ini, kata Kementerian Dalam Negeri (KDN).

KDN berkata demikian dalam satu kenyataan susulan laporan media Pakistan baru-baru ini berhubung pengambilan sekitar 100,000 hingga 150,000 pengawal keselamatan dari negara itu untuk bekerja di Malaysia.

Menurut KDN, syarikat perkhidmatan kawalan keselamatan swasta di negara ini digalakkan untuk mengutamakan penggunaan pengawal keselamatan tempatan.

KDN dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) turut melaksanakan program latihan secara kerjasama sejak tahun 2014 bagi meningkatkan imej dan kualiti perkhidmatan kawalan keselamatan swasta dalam negara.

Antara program itu ialah Certified Security Guard (CSG) dan Certified Bodyguard (CBG).

β€œSeramai 120,767 orang pengawal keselamatan tempatan telah menjalani program latihan ini yang membabitkan lebih 80 peratus daripada jumlah pengawal keselamatan tempatan yang sedang berkhidmat dalam industri,” katanya.

KDN berkata, program latihan itu bersifat serampang dua mata yang turut bertujuan memastikan pengawal keselamatan yang dilantik pihak swasta memenuhi kriteria dan syarat yang ditetapkan kementerian.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran semalam dilaporkan berkata urusan pengambilan pekerja asing di bawah KDN.

Akhbar The Nation, Pakistan pada 3 Februari lalu melaporkan, Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, Amna Baloch sebagai berkata, Malaysia sudah berbincang dengan negara itu mengenai pengambilan pengawal keselamatan antara 100,000 hingga 150,000 kerana Malaysia menghentikan pengambilan pekerja kurang berkemahiran. – BH Online

Loading...