Cuma 1 PPS Di Terengganu, Paras Sungai Mula Turun

KUALA TERENGGANU – Jumlah pusat penempatan sementara (PPS) mangsa banjir di Terengganu kekal sebuah, setakat pukul 9 pagi ini, meskipun berlaku hujan malam tadi.

Menurut laporan portal info banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat, PPS di Surau Kampung Besop Lama, Dungun menempatkan lapan keluarga dengan 31 orang mangsa terdiri daripada 18 orang dewasa, sembilan orang kanak-kanak dan empat orang bayi.

Semalam, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Daerah Dungun, Kapten (PA) Ramlan Ros Wahid berkata pemindahan itu bukan disebabkan kenaikan paras air sungai tetapi air hujan yang bertakung di kawasan rumah mangsa dan dijangka pulih dalam tempoh tiga hari, bergantung keadaan cuaca.

Sementara itu Jabatan Pengairan dan Saliran Terengganu, menerusi satu kenyataan berkata kesemua sungai utama di negeri itu menunjukan trend turun naik aras sungai disebabkan hujan sekejap-sekejap dan kadangkala lebat.

Dua sungai melepasi aras bahaya pada malam tadi juga telah menurun pada aras waspada pagi ini iaitu Sungai Chalok di Jambatan Chalok, Setiu dan Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu.

“Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu, telah kembali normal serta Sungai Tumpat, Kemasik menurun daripada paras bahaya kepada amaran. Sungai-sungai lain masih normal,” katanya menurut kenyataan itu hari ini.

Selain itu dilaporkan bahawa hujan lebat direkodkan di lembangan Sungai Marang, Lembangan Sungai Kemaman dan Lembangan Sungai Terengganu sekitar pukul 8 pagi ini.

Ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu, Jawatankuasa Pengurusan Banjir Negeri Terengganu menasihatkan penduduk di kawasan berisiko banjir sentiasa bersiap siaga memandangkan hujan masih berlaku di kebanyakan tempat di seluruh Terengganu. – BERNAMA

Loading...