Hanya Gulungan Dawai Pemisah Malaysia-Thailand

PUTRAJAYA – Hanya gulungan dawai besi setinggi paras paha yang menjadi pemisah antara Malaysia dan Thailand di sempadan kedua-dua negara di kawasan Ban Talok, Sadao, Thailand.

Perkara itu dimaklumkan oleh Sayuti Zainuddin pada sesi pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis hari ini.

Sayuti yang merupakan saksi ke-22 berkata, beliau menaiki kawasan berbukit di Ban Talok pada 13 Mei bersama bekas wartawan Malay Mail, S. Arulldas untuk menyiasat kes mengenai kewujudan kem-kem penempatan warga asing.

“Saya dan Arulldas dibawa menyusuri kawasan berbukit di Ban Talok oleh dua lelaki warga Thailand. Apabila sampai di sempadan saya dapati hanya ada gulungan dawai setinggi paha yang menjadi pemisah kedua-dua negara.

“Di situ terdapat juga batu sempadan dengan tulisan Thailand. Selepas melintas sempadan kami menjumpai sungai sebelum memasuki Bukit Genting Perah iaitu lokasi kem penempatan,” katanya dalam prosiding RCI di sini, hari ini.

Sayuti yang juga jurugambar Malay Mail berkata, setibanya di Bukit Genting Perah beliau dan Arulldas telah menjumpai kem penempatan yang baru ditinggalkan selain terdapat lima struktur tanah berbentuk kubur yang diliputi daun.

Pada sesi pendengaran awam itu, Sayuti turut memaklumkan mengenai setiap butiran gambar yang dirakamkannya di kem penempatan berkenaan kepada panel RCI yang dipengerusikan oleh Tun Arifin Zakaria.

Sebelum itu, Arulldas yang merupakan saksi ke-21 berkata, beliau telah pergi ke Wang Kelian sebanyak enam kali untuk menyiasat dan menjejaki kem-kem pemerdagangan manusia namun gagal menemukan laluan sebenar.

“Saya mengetahui mengenai kem penempatan warga asing di Wang Kelian selepas terdengar cakap-cakap dalam kalangan penduduk di kedai kopi bahawa terdapat beberapa kem pemerdagangan manusia yang besar di Wang Kelian.

“Saya bersama jurugambar meredah hutan untuk mengetahui mengenai kem itu, tetapi kami gagal. Kami tidak bertanya kepada penduduk setempat kerana bimbang mereka adalah agen yang membawa masuk warga asing,” katanya.

Arulldas berkata, usaha untuk membongkarkan kem itu tidak terhenti di situ dan dengan bantuan dua lelaki dari Thailand, beliau bersama jurugambar (Sayuti) berjaya sampai ke lokasi tersebut melalui laluan di sebelah Thailand iaitu di Ban Talok.

“Laluan yang kami guna di kawasan Thailand seolah-olah seperti laluan yang selalu digunakan orang lain. Dua lelaki Thailand juga mengarahkan kami tidak berbuat bising kerana bimbang ada orang lain di kawasan hutan itu,” katanya.

Dalam pada itu katanya, selepas tiba di kem penempatan itu, beliau temukan pelbagai barangan yang ditinggalkan seperti bekas makanan dan juga ubat-ubatan selain struktur tanah berbentuk kubur yang ditutup dengan daun. – UTUSAN ONLINE

Loading...