Hanya 4 Daripada 47 Syarikat Kementerian Kewangan Kukuh

KUALA LUMPUR – Pengauditan oleh Jabatan Audit Negara terhadap 47 syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) yang dapat dinilai berdasarkan penyata kewangan beraudit mendapati 4 syarikat itu kukuh, 33 stabil dan 10 kurang stabil.

Syarikat yang didapati kukuh adalah Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Prokhas Sdn. Bhd., MyCreative Ventures Sdn. Bhd. dan Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Bhd.

Menurut Jabatan Audit Negara, peningkatan dalam liabiliti syarikat MKD pada 2018 berbanding 2016 menggambarkan kebergantungan syarikat kepada hutang/pinjaman.

“Selain itu, liabiliti luar jangka adalah tinggi dengan jumlah RM13.178 bilion,” kata jabatan itu dalam Laporan Ketua Audit Negara Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan 2018 Siri 2.

Penilaian terhadap kedudukan kewangan syarikat pegangan ekuiti majoriti kerajaan dari 2016 hingga 2018 itu mendapati kedudukan tunai 26 syarikat (54.2%) pada kadar nisbah di bawah satu merupakan indikator syarikat memerlukan bantuan kewangan kerajaan.

Analisis kewangan dan pemantauan terhadap syarikat MKD turut mendapati nisbah pulangan atas ekuiti kurang memuaskan, di mana 47 syarikat (97.9%) mencapai pulangan di bawah kadar satu.

Jabatan itu berkata, penggunaan 41.2% dana pinjaman kerajaan bagi membayar semula pinjaman kepada kerajaan, termasuk pertukaran pinjaman kepada ekuiti menunjukkan keupayaan kewangan syarikat yang lemah dan masih bergantung kepada bantuan kerajaan.

“Prestasi penggunaan sukuk/bon oleh syarikat MKD adalah kurang cekap, di mana 33% digunakan bagi menampung penebusan sukuk matang, membayar balik pinjaman serta keuntungan sukuk/pinjaman dengan jumlah RM23.097 bilion.

“Peningkatan terbitan sukuk/bon pada 2018 sejumlah RM12.040 bilion bagi membiayai projek infrastruktur menunjukkan keupayaan kewangan kerajaan yang terbatas,” kata jabatan itu.

Loading...