Batuk Berdarah Lepas Balik Dari Majlis Anugerah

PENYANYI Sufian Suhaimi berkata dia diserang batuk yang teruk sehingga mengalami pendarahan.

Menurut Sufian, 26, penyakit itu menyerangnya kira-kira tiga minggu lalu dan menjadi lebih serius selepas dia menghadiri sebuah majlis anugerah.

“Saya diserang demam panas dan batuk-batuk yang teruk selepas menghadiri sebuah majlis anugerah baru-baru ini. Hampir seminggu saya batuk berdarah dan sekarang ni kondisi sudah semakin baik, hanya batuk biasa sahaja.

“Setelah menjalani pemeriksaan, doktor mengesahkan ada luka di tekak yang menyebabkan berlaku pendarahan itu,” katanya kepada mStar Online.

Sufian ditemui semasa sidang media Separuh Akhir Muzik-Muzik ke 33 (SFMM33) yang diadakan di The International Gallery At Alya, Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada Selasa.

Sufian (tengah) bersama Ariff Bahran (kiri) dan Haqiem Rusli.

Penyanyi ini bakal memulakan saingan minggu pertama SFMM33 bersama penyanyi lain antaranya Ariff Bahran, Liza Hanim, Dayang Nurfaizah, Siti Sarah, Amylea dan Kaer, Ben Ladin dan Aliff Satar pada 9 November ini.

Sebanyak 30 buah lagu terbaik dipilih untuk separuh akhir sebelum layak menduduki 12 tempat terakhir Anugerah Juara Lagu 33 (AJL33).

Sementara itu, Sufian memberitahu dia masih menjalani rawatan bagi memulihkan masalah kesihatannya itu.

“Sekarang ni masih makan ubat yang diberi oleh doktor dan dalam masa sama saya mengamalkan pengambilan madu.

Antara barisan penyanyi yang layak ke peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 33.

“Alhamdulillah, luka dah tak berdarah lagi tapi masih sakit dan batuk masih ada. Mujurlah semasa persembahan masalah ini tak mengganggu dan peminat faham,” katanya.

Bercakap mengenai persediaan lagu Di Matamu di pentas SFMM33, Sufian berkata dia tidak membuat sebarang latihan khusus untuk saingan tersebut.

Sebaliknya, dia hanya menggunakan pentas undangan nyanyian sebagai ruang mempersiapkan diri sebelum persembahan separuh akhir nanti.

“Saya tak ada sebarang latihan intensif untuk kali ini. Saya jadikan undangan show sebagai pentas latihan.

“Apa yang penting sekarang ini adalah memastikan tekak saya benar-benar sembuh dan kesihatan berada dalam keadaan baik,” ujarnya. – mStar Online

Loading...