1 Juta Ahli UMNO, PAS, NGO Himpun Bantah ICERD

SEREMBAN – Hampir satu juta ahli UMNO, PAS dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dijangka menghadiri perhimpunan membantah cadangan ratifikasi Konvensyen…

SEREMBAN – Hampir satu juta ahli UMNO, PAS dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dijangka menghadiri perhimpunan membantah cadangan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), 8 Disember ini.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata dalam mesyuarat yang diadakan semalam, UMNO komited meminta seramai 350,000 ahli untuk menghadiri perhimpunan yang akan diadakan di ibu negara.

Katanya, begitu juga PAS sudah meminta seramai 350,000 ahlinya untuk menyertai perhimpunan itu nanti. “Mereka tidak boleh selamanya memperbodohkan kita, sebab itu kita kena bagi isyarat kuat pada mereka.

“Jadi jika mereka masih degil, pada 8 Disember ini akan ada seramai 500,000 sehingga satu juta ahli UMNO, PAS termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam berhimpun di Dataran Merdeka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Forum Perdana Bantah ICERD di Tapak Kompleks PAS Seremban, Jalan Pantai di sini, malam ini.Sementara itu berkenaan permit perhimpunan itu, Asyraf berkata pihak seketeriat sudah membuat permohonan kepada pihak berkaitan.

Beliau berharap, kerajaan akan memberi kebenaran supaya perhimpunan itu dapat dijalankan secara aman. “Ketika zaman kerajaan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) memperjuangkan hak demonstrasi, jadi sekarang kami sebagai pembangkang mahukan hak yang sama.

“Tetapi jika mereka tidak benarkan, rakyat akan tengok yang mereka ini kerajaan hipokrit dan munafik. Bagaimanapun, kita tetap akan berkumpul,” katanya. – BH ONLINE