Hampir RM600 Juta Belum Dilunasi Peminjam Tekun

TANAH MERAH – Hampir RM600 juta hutang terpaksa ditanggung Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) ekoran kegagalan usahawannya melunaskan baki pinjaman yang diberikan.

Pengerusinya Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor berkata justeru itu, pihaknya kini sedang giat mengesan jumlah sebenar peminjam yang gagal melunaskan hutang sebelum mengambil tindakan mahkamah.

“Peminjam harus bertanggungjawab dengan pinjaman yang diberikan TEKUN kepada mereka kerana jika usahawan gagal membayar dengan baik, ia akan memberikan tekanan kewangan kepada kami,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Graduasi Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) daerah Tanah Merah 2018 di Institut Kemahiran Belia Negara (İKBN) Tanah Merah di sini, hari ini.

Seramai 289 murid-murid Tabika KEMAS menerima sijil graduasi masing-masing pada majlis berkenaan.

Mengulas lanjut, Suparadi berkata pihaknya bukan mahu memberikan tekanan kepada peminjam namun akan mengesan usahawan yang mempunyai hutang tertunggak melebihi enam bulan.

“TEKUN tidak zalim dengan menghukum terus peminjam…kita panggil dulu mereka bagi mendapat pejelasan kerana ia tidak adil pada orang lain untuk mendapat pinjaman.

“Kita minta usahawan TEKUN jangan lari tapi datang berbincang kerana kita mahu membantu mereka. Mungkin mereka tidak mahu membayar pinjaman kerana perniagaan belum berjaya atau desakan ekonomi semasa,” katanya. – BERNAMA

Loading...