Hampir 70 Peratus Kluster Di Selangor Tiada Kaitan Sabah

PETALING JAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata 69.2 peratus kes Covid-19 di Selangor baru-baru ini tiada kaitan dengan individu pulang dari Sabah.

Katanya, terdapat 18 kluster aktif di Selangor dan hanya lapan kluster ada kaitan dengan mereka yang pulang dari Sabah baru-baru ini.

Beliau berkata, sembilan lagi kluster ada kaitan rapat dengan jangkitan di tempat kerja dan baki satu kluster membabitkan pusat beli-belah.

“Virus Covid-19 sudah ada di persekitaran komuniti kita. Enam kluster terbaru sejak 11 Oktober adalah jangkitan tempatan,” tulisnya di Facebook hari ini.

Semalam, kerajaan mengarahkan sejuta pekerja sektor awam dan swasta di Selangor, Sabah, Kuala Lumpur dan Putrajaya bekerja dari rumah mulai esok sehingga perintah kawalan pergerakan bersyarat tamat, susulan peningkatan kes Covid-19.

Kementerian Kesihatan melaporkan 862 kes baru Covid-19 dan tiga kematian, dengan 132 kes direkodkan di Selangor semalam. – FMT

Loading...